Minister for Social and Family Development and Minister in-charge of Muslim Affairs Masagos Zulkifli delivered Prime Minister and Minister for Finance Lawrence Wong's National Day Message 2024 in Malay. The message was recorded at the Istana, and telecast on 8 August 2024.
Saudara saudari sekalian
Saya kini berada di Sri Temasek, di Istana.
Di sinilah Encik Lee Kuan Yew sekeluarga bermalam pada 8 Ogos 1965. Pagi itu, beliau pulang ke Singapura dengan Perjanjian Perpisahan dan bergegas pindah ke Sri Temasek atas sebab keselamatan. Dalam memoirnya, Encik Lee menceritakan bagaimana beliau resah gelisah sepanjang malam, bimbang bagaimana untuk membina sebuah negara baharu dari mula.
Disokong Generasi Perintis, Encik Lee, dan rakan-rakannya, bingkas bertindak. Dengan hati yang cekal dan tabah, mereka berjaya mengatasi pelbagai rintangan besar dan membina asas kukuh yang kita nikmati hari ini.
Pada Hari Kebangsaan ini, banyak yang boleh kita rai dan banggakan. Kita telah sama-sama, mengubah Singapura menjadi sebuah negara dunia pertama dan sebuah titik merah yang berkilauan di pentas dunia.
Namun, cabaran-cabaran baharu menanti kita.
Dunia sedang berubah dengan mendadak.
Konflik di Eropah dan Timur Tengah terus bergelora.
Ketegangan antara Amerika Syarikat dan China semakin meningkat, menggugat keamanan dan kestabilan, terutama di rantau ini.
Di seluruh dunia, populisme, nasionalisme dan dasar perlindungan semakin berleluasa.
Politik di banyak negara pula kian agresif, menjadikannya lebih sukar untuk tangani krisis genting, khususnya perubahan iklim.
Inilah faktor-faktor besar yang mencorak dunia. Walaupun kita tidak lagi membina negara kita seperti dahulu, namun masih kita tidak mampu untuk bersikap sambil lewa. Kita tidak boleh bergantung kepada formula yang sedia ada. Sebaliknya, kita perlu bertindak dengan tangkas, bijak dan berpandangan jauh. Mencari huraian segar, dan melakar hala tuju kita sendiri.
Bagaimana Pemerintah akan bekerjasama dengan anda untuk membina Singapura yang lebih baik?
Pertama, kami akan wujudkan peluang-peluang baharu bagi rakyat kita.
Kita perlu mengejar pertumbuhan dan peningkatan ekonomi, melalui inovasi dan daya penghasilan.
Kita akan buat pelaburan dalam R&D dan teknologi baharu, seperti robotik dan Kecerdasan Buatan (AI).
Kita sedang membina prasarana besar-besaran, seperti Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan Pelabuhan Tuas, untuk tingkatkan daya saing sebagai hab logistik global.
Strategi-strategi ini telahpun membuahkan hasil. Ramai CEO syarikat berbilang negara yakin dengan Singapura, dan mahu menjadikan kita pangkalan operasi mereka di Asia.
Sepanjang tahun lalu, syarikat-syarikat seperti Pfizer, Hyundai, GlobalFoundries dan Maersk membuka kemudahan baharu di Singapura. BioNTech misalnya akan membuka kilang mRNA di sini, pertama di Asia Tenggara. Kesemua pelaburan ini akan memacu ekonomi kita dan mewujudkan pekerjaan baharu bagi rakyat Singapura.
Namun, pekerjaan-pekerjaan baharu ini berbeza dan perlukan kemahiran baharu.
Oleh itu, kita perlu siapkan tenaga kerja untuk rebut peluang-peluang ini.
Melalui SkillsFuture, kami akan bantu setiap rakyat Singapura melengkapkan diri sepanjang kerjaya mereka. Jadi, pekerja pertengahan usia ada pilihan - asah kemahiran, atau cuba sesuatu yang baharu.
Kami akan bekerja rapat dengan NTUC dan majikan untuk lengkapkan setiap pekerja dengan keupayaan bagi hadapi ekonomi masa hadapan.
Kedua, kami akan lipatgandakan usaha untuk pastikan kos sara hidup stabil.
Kita semua bimbang tentang kadar inflasi yang tinggi dan kesannya terhadap kemampuan rakyat menampung belanja sehari-hari.
Kita tidak boleh kawal harga barangan global.
Tetapi, kita boleh dan telahpun melindungi rakyat Singapura daripada kesan terburuk inflasi global dengan memastikan Dolar Singapura terus kukuh.
Tahun ini, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, kami jangkakan gaji pekerja juga akan naik.
Pada masa yang sama, kami akan terus ringankan beban inflasi, terutama bagi rakyat Singapura bergaji rendah dan pertengahan, melalui bantuan seperti baucar CDC, bayaran tunai, dan rebat api air.
Dalam jangka panjang, kunci utama bagi menangani kenaikan kos sara hidup ialah inovasi dan daya penghasilan dalam setiap aspek ekonomi kita. Dengan ini sahajalah kita dapat melihat kenaikan gaji yang lebih tinggi berbanding kadar inflasi. Mutu kehidupan semua rakyat Singapura juga akan meningkat.
Saya tahu ramai juga yang bimbang jika tidak mampu untuk membeli rumah sendiri.
Kami telah ambil langkah tambahan untuk meredakan pasaran perumahan dan menambah bekalan flat HDB yang baharu.
Langkah-langkah ini akan membantu stabilkan pasaran hartanah.
Oktober nanti, HDB akan lancarkan kelompok pertama flat-flat Standard, Plus dan Prime yang baharu. Flat-flat Plus dan Prime yang terletak di lokasi popular dan lebih mahal, akan dijual pada harga yang lebih mampu dimiliki, kerana subsidi yang lebih tinggi. Tetapi, bagi memastikan sistem ini adil, subsidi tambahan ini perlu dikembalikan kepada HDB, apabila flat itu dijual nanti.
Inovasi dalam dasar-dasar perumahan mencerminkan komitmen berterusan Pemerintah untuk pastikan semua rakyat Singapura dapat memiliki rumah sendiri. Kami akan pastikan perumahan awam di Singapura terus mampu dimiliki, dan adil untuk semua.
Ketiga, kami akan memperkukuhkan sistem sokongan sosial kita.
Pasti ada yang sukar untuk mengikut arus perubahan.
Profil penduduk kita yang menua juga akan perlukan lebih banyak khidmat jagaan kesihatan dan sokongan sosial. Lebih ramai yang akan rasa tersepit, kerana perlu menjaga anak-anak dan juga ibu bapa yang sudah tua.
Inilah sebabnya Pemerintah sedang menambah pelaburan dalam prasarana sosial kita.
Dalam dua Belanjawan sebelum ini, kami umumkan bantuan bagi pekerja bergaji rendah, keluarga susah, serta golongan pesara.
Inisiatif peringkat nasional seperti Healthier SG dan Age Well SG untuk menjaga warga emas kita, juga sudah dimulakan.
Melalui Forward SG, kami akan tambah bantuan untuk keluarga, dan bantu rakyat Singapura bangkit dengan lebih teguh jika dihimpit masalah pekerjaan.
Lebih banyak lagi akan dilakukan. Butiran lanjut akan dibentangkan di Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti.
Seiring langkah Pemerintah meningkatkan usaha, setiap kita ada peranan masing-masing. Kami menyokong setiap individu yang bekerja keras dapatkan manfaat sepenuhnya dari sokongan yang disediakan, supaya anda cemerlang dalam pekerjaan, demi pertingkatkan mutu kehidupan keluarga anda. Bagi yang berjaya bantulah orang lain. Itulah cara kita pastikan masyarakat Singapura bersatu hati, teguh dan berdaya tahan.
Saya telah berkongsi beberapa strategi Pemerintah untuk mengemudi dunia baharu ini. Cabaran yang mendatang memang menggerunkan.
Namun, semakin besar masalahnya, semakin besar azam kita untuk mengatasinya, dan mengubah cabaran menjadi kekuatan.
59 tahun lalu, kita adalah sebuah negara Dunia Ketiga. Tetapi kini, lapangan terbang dan pelabuhan kita antara tersibuk di dunia. Kita dinobat bandar dunia paling selesa untuk didiami, danpenduduk dengan taraf pendidikan tertinggi di dunia.
Oleh itu, kita harus yakin tentang masa depan kita, kerana banyak peluang menarik dan kemungkinan baharu tersedia.
Dalam gerakan Forward SG, rakyat Singapura berazam untuk kukuhkan kompak sosial kita, dan bekerjasama demi mencapai tahap kehidupan yang lebih tinggi. Cita-cita kita ini terakam dalam lirik lagu tema NDP tahun ini, iaitu “…apabila kita semakin padu, kita mampu mencapai lebih banyak lagi.”
Saudara saudari sekalian, kita akan mengharungi semua cabaran ini bersama. Marilah kita membawa Singapura Maju ke Hadapan – Bersama-sama sebagai Rakyat yang Bersatu Padu.
Selamat Hari Kebangsaan!
Saudara saudari sekalian, kita akan mengharungi semua cabaran ini bersama. Marilah kita membawa Singapura Maju ke Hadapan – Bersama-sama sebagai Rakyat yang Bersatu Padu. PM Lawrence Wong