Minister for Social And Family Development and Second Minister for Health Masagos Zulkifli delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2021 in Malay. The message was recorded at the Shaw Foundation Symphony Stage in the Singapore Botanic Gardens and telecast on 8 August 2021.
Saudara-saudari sekalian.
Saya kini berada di Tasik Simfoni di Kebun Bunga. Tempat ini gemar dikunjungi orang ramai. Tempat ini tidak begitu sibuk sekarang kerana tempoh Fasa Kedua Kewaspadaan Dipertingkat. Namun, ia tetap popular.
COVID-19
Usaha kita memerangi COVID-19 melalui banyak pasang surut. COVID-19 ternyata sukar diatasi. Di peringkat global, ia meragut berjuta-juta nyawa dan menyebabkan beratus juta orang jatuh sakit. Ia juga menjejas pekerjaan dan perniagaan dengan teruk. Di Singapura, setiap kali kita rasa bahawa kita sudah dapat mengawal keadaan, COVID-19 memberi kita kejutan baru.
Baru-baru ini, kami mengenal pasti satu kelompok besar di Pelabuhan Perikanan Jurong. Virus ini kemudian merebak ke banyak pasar di seluruh Singapura. Ini membahayakan warga emas kita yang belum mendapatkan vaksinasi. Jadi, kami terpaksa mengetatkan langkah-langkah sekatan. Ini dapat memperlahankan penularan virus, melindungi warga emas kita, dan memberikan vaksinasi kepada lebih ramai orang.
Kami faham ramai rakyat Singapura kecewa dengan keputusan ini. Rasanya seperti satu hambatan selepas segala kemajuan yang telah kita capai. Namun, matlamat kami tetap untuk melindungi nyawa dan pekerjaan. Kami berusaha untuk mencari keseimbangan yang sukar dicapai ini melalui gabungan beberapa langkah. Ini termasuk langkah kesihatan awam, disiplin sosial dan bantuan kewangan bagi golongan keluarga, pekerja dan perniagaan. Kita juga bergantung kepada usaha wira-wira penjagaan kesihatan kita serta orang-orang yang menyokong mereka. Tentu sekali, masih ada banyak ruang untuk diperbaiki. Namun hakikatnya, kita telah dapat melindungi semua orang di Singapura, termasuk para pekerja hijrahan. Mujur, jumlah kematian disebabkan COVID-19 di Singapura kekal rendah.
Kini, kami memberikan vaksinasi kepada 1 peratus penduduk kita setiap hari. Lebih daripada dua pertiga penduduk kita sudah pun mendapatkan vaksinasi penuh. Dalam kalangan warga emas kita, lebih 85 peratus sudah pun mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Dengan jumlah tinggi penduduk kita yang sudah pun dilindungi, kita berada pada kedudukan yang lebih berdaya tahan. Dari itu, kita boleh menjangkakan pembukaan semula ekonomi secara berhati-hati dan bertahap-tahap. Inilah cara kita menuju satu kebiasaan baru.
Sementara itu, perjuangan memerangi COVID-19 menjejas kita semua. Kita perlu saling menjaga satu sama lain, lebih-lebih lagi dalam tempoh ini. Perhatikan jika rakan-rakan dan anggota keluarga kita menunjukkan tanda-tanda keletihan, keresahan atau tekanan jiwa. Jangan segan untuk dapatkan bantuan jika perlu. Rakyat Singapura telah berganding bahu, saling mengambil berat dan membantu satu sama lain sepanjang krisis ini. Janganlah kita memandang remeh perpaduan yang kita ada. COVID-19 sebenarnya meluaskan jurang perselisihan dalam masyarakat kita. Ia membangkitkan isu-isu sukar yang kita perlu hadapi dan tangani dengan segera.
Apakah isu-isu ini? Saya akan sentuh tiga isu:
Pekerja Bergaji Rendah
Pertama, kita perlu membantu para pekerja bergaji rendah kita. Mereka adalah kumpulan yang paling terkesan akibat COVID-19. Seperti semua rakyat Singapura, para pekerja bergaji rendah dan keluarga mereka menikmati penjagaan kesihatan, perumahan dan pendidikan yang baik, dan berada dalam kemampuan mereka. Namun, disebabkan wang simpanan mereka yang rendah, sukar bagi mereka untuk menampung kos sara hidup apabila pendapatan mereka berkurangan. Apalagi jika kehilangan pekerjaan yang tidak dijangka. Oleh itu, kami memberikan mereka lebih banyak bantuan untuk menghadapi krisis ini.
Dalam jangka panjang, ekonomi kita akan semakin berasaskan kemahiran. Para pekerja kita yang bergaji rendah memerlukan lebih banyak bantuan berterusan. Sebuah kumpulan kerja tiga pihak sedang melakarkan pelbagai saranan untuk memperbaiki kehidupan dan prospek mereka. Usaha ini adalah tambahan kepada skim Daya Kerja dan Model Gaji Progresif. Ia bertujuan untuk menambah pendapatan dan mewujudkan peluang-peluang baru untuk meningkatkan kemahiran. Ini akan memastikan para pekerja kita yang bergaji rendah maju dalam kerjaya.
Kita perlu memastikan kemajuan sebenar bagi para pekerja bergaji rendah. Ini adalah ciri penting dalam pertumbuhan yang inklusif. Di Singapura, tidak kira di mana anda bermula dalam kehidupan anda, kami akan pastikan anda dan anak-anak akan dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk memperbaiki diri dan maju ke hadapan.
Warga Asing
Kedua, kita mesti menangani kebimbangan rakyat Singapura tentang para pemegang pas kerja hijrahan. Pemegang pas kerja membantu mengembangkan ekonomi kita dan membuka lebih banyak peluang untuk kita. Apabila kita memperkukuh tenaga kerja kita dengan kepakaran dari seluruh dunia, lebih banyak syarikat akan melabur di sini. Ia akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Singapura. Ini suatu lingkaran yang bermanfaat. Rakyat Singapura faham perkara ini: bahawa kita harus menyambut baik kehadiran bakat dan kepakaran yang diperlukan ekonomi kita.
Tetapi apabila bilangan pemegang pas kerja semakin ramai, dengan semula jadi rakyat kita berasa bimbang tentang persaingan untuk pekerjaan. Ketidakpastian yang timbul akibat COVID-19 memburukkan lagi kebimbangan ini. Pemegang pas kerja mengukuhkan pasukan di tempat kerja. Tetapi mereka juga seringkali bersaing secara langsung dengan rakan sekerja tempatan mereka. Kadangkala pula, para pekerja tempatan berasa mereka tidak dilayan dengan adil. Contohnya, apabila mereka tidak dipilih untuk sesuatu jawatan atau dinaikkan pangkat. Di luar tempat kerja pula, berlaku ketegangan sosial dari semasa ke semasa. Ada sebilangan pemegang pas kerja dan keluarga mereka belum menyesuaikan diri dengan norma-norma sosial kita atau berintegrasi sepenuhnya ke dalam masyarakat kita.
Saya faham kebimbangan dan masalah ini. Pemerintah sedang menanganinya. Kita perlu menyesuaikan dasar-dasar bagi mengawal mutu, jumlah dan di mana tertumpunya pekerja hijrahan di Singapura. Jika kita lakukan semua ini dengan baik, kita boleh terus menerima kehadiran para pekerja hijrahan dan pendatang baru, seperti yang harus kita lakukan. Merosakkan hubungan dengan dunia luar bercanggah dengan kepentingan mutlak kita. Ia hanya akan merosakkan reputasi Singapura sebagai sebuah hab global dan serantau. Ia akan menjejas pekerjaan dan peluang untuk kita. Yang paling penting, ia bercanggah dengan nilai keterbukaan dan sikap berlapang dada untuk menerima kehadiran orang yang berbeza daripada kita. Kita pegang erat nilai-nilai ini kerana ia telah mengukuhkan kita dan membantu Singapura mencatatkan kemajuan, dekad demi dekad, sebagai satu negara.
Bangsa & Agama
Ketiga, kita mesti menangani isu-isu bangsa dan agama dengan berhati-hati. Kita bangga dengan keunikan masyarakat kita yang berbilang kaum dan hidup secara harmoni. Tetapi mengekalkan keharmonian sosial memerlukan usaha yang berterusan. Norma-norma sosial kita dibentuk oleh pengalaman dan aspirasi kehidupan setiap generasi yang berbeza. Ia juga dipengaruhi oleh trend-trend daripada luar kerana negara kita amat terbuka dan terhubung dengan seluruh dunia. Oleh itu, dengan setiap generasi baru, keharmonian kaum kita harus diperbaharui, ditekankan semula dan diperkukuh.
Baru-baru ini, beberapa insiden berbaur perkauman mendapat perhatian meluas, ditularkan oleh media sosial. Insiden-insiden ini membimbangkan, walaupun ia bukanlah sesuatu yang biasa berlaku. Terdapat banyak lagi interaksi yang baik antara kaum yang berlaku setiap hari, walaupun ia jarang tular di media sosial. Insiden-insiden negatif ini tidak bermakna pendekatan kita gagal. Sebaliknya, ia menggambarkan bagaimana isu-isu bangsa dan agama pasti akan menyentuh perasaan mana-mana kaum. Ia boleh memecahbelahkan kita. Oleh itu, ia harus sentiasa ditangani dengan berhati-hati.
Mengetengahkan dan akur wujudnya isu-isu sensitif ini sangat membantu. Kita perlu lakukannya melalui perbincangan secara terbuka. Tetapi ia mesti dilakukan dengan jujur dan penuh hormat. Kita harus menghargai usaha berterusan yang mengambil masa beberapa generasi untuk menyatupadukan masyarakat kita yang berbilang bangsa dan agama. Kita juga harus menghargai usaha meluaskan ruang bersama yang kita kongsi sekarang. Keharmonian ini tidak terhasil dengan setiap pihak menekankan identiti atau menuntut hak mereka dengan lantang. Sebaliknya, ia terbit daripada persefahaman dan tolak ansur semua pihak – baik kaum majoriti mahupun minoriti.
Kita tidak harus meremehkan keseimbangan ini yang mewujudkan keharmonian kaum. Malah ia sukar dicapai dan amat rapuh. Tetapi dengan masyarakat yang berubah-ubah, kita harus sentiasa membuat penyesuaian demi mengukuhkan keharmonian kita. Hakikatnya, Pemerintah bertanggungjawab menangani isu-isu ini bagi semua rakyat Singapura, tidak kira bangsa, bahasa atau agama. Untuk melaksanakannya, kami perlukan kerjasama, sokongan dan kepercayaan anda.
Penutup
Tekanan-tekanan yang kita hadapi ini tidak berlaku hanya di Singapura. Banyak negara lain yang sedang bergelut dengan jurang perselisihan yang jauh lebih dalam. Isu-isu ini juga bukan baru untuk kita. Apabila Singapura menjadi sebuah negara yang ditadbir sendiri pada 1959, setiap kaum tinggal di kawasan yang berbeza. Mereka belajar di sekolah-sekolah yang berbeza dan bekerja dalam bidang dan syarikat yang berlainan. Pemerintah PAP yang baru dipilih menganjurkan siri konsert berbilang budaya. Ia dinamakan Konsert Aneka Ragam Rakyat dan diadakan di sini, di Kebun Bunga. Konsert-konsert ini bertujuan untuk membantu semua kaum di Singapura lebih memahami budaya dan amalan-amalan satu sama lain. Ia menjadi titik tolak perjalanan kita untuk menjadi satu rakyat, satu negara.
Sejak itu, negara kita mencapai banyak kemajuan. Tetapi, perjalanan kita belum berakhir. Dari semasa ke semasa, krisis-krisis baru akan sekali lagi menguji keazaman dan perpaduan kita. Tetapi COVID-19 telah menunjukkan bahawa kita boleh menangani isu-isu tersebut dengan iltizam dan keikhlasan, jika kita kekal bersatu. Seperti yang digambarkan dalam lirik lagu tema NDP tahun ini yang berbunyi, “Kita berjaya mengatasi cabaran sebelum ini dan kita akan berjaya sekali lagi!” Saya yakin Singapura boleh terus membentuk masyarakat yang lebih harmoni, ekonomi yang lebih makmur dan negara yang lebih cemerlang bagi generasi-generasi mendatang.
Selamat Hari Kebangsaan!