National Day Message 2022 (Malay)

Prime Minister's Office | 8 August 2022

Minister for Social and Family Development and Second Minister for Health Masagos Zulkifli delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2022 in Malay. The message was recorded at Gardens by the Bay and telecast on 8 August 2022.

 

Saudara-saudari sekalian 

COVID-19

Sudah dua setengah tahun kita memerangi COVID-19. Setelah mengharungi banyak pasang surut, kita merentasinya sebagai rakyat yang bersatu padu. Keadaan kita kini jauh lebih baik. Sebahagian besar penduduk kita sudah pun divaksin dan dilindungi dengan baik. Hospital-hospital dan klinik-klinik kita masih sibuk, tetapi tidak terlalu dibebani. Dan walaupun kes-kes COVID-19 melonjak baru-baru ini, kita masih mampu mengelak daripada mengetatkan semula langkah-langkah kawalan.

Terima kasih kepada para individu dan pertubuhan awam mahupun swasta, yang sama-sama menyertai usaha memerangi COVID-19. Kunci kejayaan kita ialah tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Pemerintah dalam kalangan masyarakat. Rakyat Singapura yakin dengan Pemerintah, dan mengikut nasihat yang diberikan. Anda terima dan patuhi langkah-langkah Pengurusan Selamat yang sukar, namun perlu dilaksanakan. Anda tampil mendapatkan suntikan vaksin apabila tiba giliran anda.

Paling penting sekali, rakyat Singapura percaya antara satu sama lain. Kita amalkan tanggungjawab peribadi dan sosial. Kita lakukan perkara yang betul walaupun tiada yang memantau. Kita sokong dan ambil berat warga setanah air. Kita sumbang cecair pembersih di dalam lif serta hantar makanan kepada mereka yang menjalani kuarantin di rumah. Sikap saling percaya ini merubah segalanya.

Memang, COVID-19 ini suatu ujian segenerasi. Tapi kita teguh menghadapi dugaan ini dan bangkit lebih kukuh serta lebih bersatu padu. Perpaduan ini sangat genting sedang kita melangkah ke hadapan melepasi COVID-19.

Persekitaran Geopolitik

Laluan kita ke hadapan tidak mudah. Di sekeliling kita, badai sedang menanti. Hubungan Amerika Syarikat-China semakin tegang dengan isu-isu mencabar, rasa syak wasangka mendalam dan perhubungan yang terhad antara mereka. Keadaannya dijangka takkan pulih dalam masa terdekat. Malah, sebarang silap langkah atau perkara yang tidak diingini boleh memburukkan lagi keadaan.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine juga membawa implikasi mendalam terhadap dunia termasuk Singapura. Pertama, Rusia ialah sebuah kuasa nuklear, mengalami perbalahan besar dengan banyak negara, terutama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara NATO. Permusuhan ini cukup mendalam. Tidak mudah diselesaikan. Kedua, pencerobohan tersebut melanggar prinsip-prinsip asas kedaulatan dan keutuhan wilayah di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini khususnya penting bagi Singapura kerana prinsip-prinsip tersebut merupakan teras keselamatan dan juga kewujudan negara kita. Ketiga, perang di Eropah akan menjejas keselamatan rantau Asia Pasifik. Ini sudahpun memburukkan lagi ketegangan China-Amerika Syarikat, begitu juga dengan rakan-rakan Amerika Syarikat di Asia. Singapura akan terperangkap di tengah-tengah dek ketegangan dan persaingan sengit di rantau sekitar kita.

Jadi, apa yang harus kita lakukan? Kekal bersatu padu adalah kunci penakatan Singapura – Inilah satu-satunya cara menangani pelbagai cabaran dalam dunia yang semakin bergolak. Kita mesti bergantung kepada pertahanan mutlak kita, dan memastikan Angkatan Bersenjata Singapura dan Pasukan Home Team kuat dan berwibawa. Kita juga mesti bersiap siaga dan bersedia secara psikologi bahawa dalam dekad-dekad mendatang, rantau kita mungkin tidak seaman dan sestabil seperti sejauh ini.

Persekitaran Ekonomi

Cabaran segera adalah cabaran-cabaran ekonomi. Meskipun ekonomi kita bangkit dengan kukuh daripada pandemik, prospeknya kini sangat suram. Sebelum Rusia menyerang Ukraine, pandemik ini sudah pun menjejas rantaian bekalan dan kadar inflasi juga semakin meningkat. Namun pencerobohan tersebut memburukkan lagi kedua-dua masalah ini. Harga makanan dan bekalan tenaga meningkat di seluruh dunia.

Saya faham kos sara hidup merupakan perkara utama yang bermain-main di fikiran semua orang. Pemerintah sedang berusaha sedaya upaya untuk bantu anda menangani isu kenaikan harga. Kami sudahpun mengumumkan pelbagai pakej bantuan, yang disasarkan kepada golongan yang paling memerlukan. Sebilangan langkah sudah dilaksanakan, dan lebih banyak lagi akan dilancarkan dalam beberapa bulan mendatang. Kami bertindak cepat untuk menjamin bekalan makanan dan keperluan asas lain. Kami pelbagaikan sumber bekalan kita. Kami juga bina stok simpanan yang mencukupi. Saya juga berbesar hati melihat syarikat-syarikat dan kumpulan masyarakat memulakan pelbagai program bantuan mereka sendiri. Dengan saling bantu-membantu, Singapura mampu Bangkit Dengan Lebih Kukuh.

Dalam pada itu, kami mengetatkan dasar pertukaran wang asing kita dan mengukuhkan dolar Singapura untuk mengurangkan kesan inflasi yang diimport. Pemerintah juga bersedia melipat gandakan usaha untuk membantu rakyat Singapura jika keadaan memburuk. Tetapi, hakikatnya keadaan ekonomi antarabangsa telah berubah. Besar kemungkinan dunia tidak akan kembali ke tahap inflasi dan kadar faedah rendah seperti yang kita nikmati sejak beberapa dekad lalu. Respons Singapura yang lebih terperinci terhadap peralihan ini ialah mentransformasi industri kita, mempertingkat kemahiran dan menambah daya penghasilan kita. Barulah gaji kita boleh naik lebih tinggi daripada kadar inflasi, dan rakyat Singapura boleh menikmati nilai pendapatan sebenar yang lebih tinggi, tahun demi tahun.

Menjamin Masa Depan Kita

Selain daripada isu-isu yang harus ditangani segera, kita juga harus melihat jangka masa panjang. Saya sedang berucap dari Taman Di Persisiran atau Gardens by the Bay. Tahun ini, ia menyambut ulang tahun ke-10, tetapi pembangunan taman ini sebenarnya mengambil masa berdekad lamanya. Tempat saya berdiri ini dahulunya kawasan laut terbuka. Sekitar 50 tahun lalu, Pemerintah mula menambak kawasan ini untuk membina Marina South dan pusat bandar baru. Kami memutuskan bahawa pusat bandar baru ini tidak seharusnya hanya ada bangunan-bangunan pejabat dan kediaman, tetapi ia juga harus mempunyai sebuah ruang hijau yang ikonik. Lantaran itulah kami merancang, mereka dan membina Taman Di Persisiran. Sejak ia dibuka pada 2012, Taman ini menjadi sebuah mercu tanda yang dinikmati dan menjadi kebanggaan rakyat Singapura. Kami terus menerus meningkatkan lagi Taman ini. Tidak lama lagi, kami akan memulakan kerja-kerja pembinaan di Taman Persisiran Timur di mana Taman Tugu Pengasas akan dibina.

Inilah cara kita di Singapura – sentiasa berani mengejar impian, menetapkan sasaran bagi tahap selanjutnya, dan mencari huraian yang lebih baik serta peluang-peluang baru. Pemerintah memandang ke hadapan dan merancang bukan sahaja untuk 5 atau 10 tahun mendatang, tetapi untuk 30 atau 50 tahun dan seterusnya.

Tahun lalu URA melancarkan Semakan Pelan Jangka Panjang. URA mendapatkan pandangan ramai orang, tua dan muda, bagi mencari idea-idea demi mereka semula bandar dan negara kita untuk masa depan. Pameran yang sedang berlangsung di Pusat URA memaparkan konsep bagi pelbagai projek pembangunan utama, dan idea-idea untuk mewujudkan kejiranan baru dan ruang hijau. Konsep-konsep ini melambangkan impian dan aspirasi kita bersama mengenai apa yang boleh Singapura capai. Semua ini akan merubah cara kita hidup, bekerja dan beriadah, di samping mengukuhkan jati diri dan warisan kita. Banyak lagi yang boleh rakyat Singapura jangkakan pada masa depan.

Sudah tentu, pelan-pelan jangka panjang bukan hanya melibatkan prasarana fizikal semata-mata. Kita juga perlu mengekalkan kemajuan ekonomi dan daya tahan sosial – melabur dalam rakyat kita agar mereka dapat mencapai potensi masing-masing sepenuhnya, dan menjaga golongan warga emas serta golongan yang mudah terjejas. Kita turut memupuk identiti bersama, dan membina masa depan yang lebih cerah bagi anak cucu kita serta generasi seterusnya. Setiap generasi seharusnya mampu menetapkan sasaran lebih tinggi dan lebih berani, demi membangunkan Singapura yang lebih baik daripada apa yang mereka warisi.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong dan pasukan 4G telah melancarkan usaha “Melakar Hala Tuju Singapura”. Ia bertujuan melibatkan rakyat demi memperbaharu kontrak sosial kita dan melakar hala tuju kita bersama. Saya mengundang anda untuk mengambil bahagian secara aktif, menyumbang idea-idea anda, dan membantu untuk membentuk Singapura kita yang akan datang.

Kesimpulan 

Janganlah kita berhenti membayangkan dan membina Singapura yang kita idamkan, walaupun sedang kita mengukuhkan benteng pertahanan untuk menghadapi sebarang musibah. COVID-19 bukanlah krisis terakhir bagi Singapura. Lebih banyak ribut dan badai menanti di hadapan. Namun jangan gentar. Selagi kita kekal bersatu padu, dan kuatkan azam, kita akan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara kita, membina ekonomi yang lebih makmur, dan membentuk sebuah masyarakat inklusif yang boleh kita banggakan untuk tahun-tahun mendatang.

Selamat Hari Kebangsaan!

 

TOP