Minister for Environment and Water Resources Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2010 in Malay. The message was telecast on 8 August 2010.
Rakan-rakan setanah air,
Ekonomi kita telah bangkit semula dengan teguh daripada kemelesetan tahun lalu. Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) telah meningkat sebanyak 17.9 peratus Tahun-ke-Tahun pada separuh pertama tahun ini. Banyak pekerjaan telah diwujudkan, dan pengangguran adalah rendah. Para pekerja kita boleh mengharapkan gaji yang lebih baik, lebih banyak kerja lembur dan bonus lebih tinggi tahun ini.
Ekonomi kita mungkin tumbuh lebih sederhana dalam separuh kedua tahun ini. Walaupun begitu, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menjangkakan pertumbuhan antara 13 dan 15 peratus bagi tahun ini. Pencapaian luar biasa ini adalah hasil daripada respons bersepadu rakyat Singapura semasa krisis. Inilah yang membolehkan kita meraih manfaat sepenuhnya daripada keadaan sejagat yang semakin baik.
Tetapi kita tidak boleh terbawa-bawa dengan kegembiraan. Masih terdapat risiko dalam ekonomi dunia, terutama di Eropah dan Amerika Syarikat. Sistem kewangan sejagat belum diperbaiki sepenuhnya. Singapura adalah sebuah negara kecil dan terbuka. Jika ekonomi dunia berubah menjadi buruk, kita akan menerima padahnya. Kita perlu sentiasa berwaspada dan memerhatikan perkembangan seluruh dunia.
Kita tidak boleh menjangkakan bahawa kita boleh mengulangi prestasi cemerlang tahun ini dari tahun ke tahun, tetapi kita boleh terus mengembangkan ekonomi dengan usaha berterusan. Kita mesti melabur dalam warga kita, meningkatkan prasarana dan membaiki daya penghasilan kita. Hanya dengan cara ini kita boleh meraih manfaat sepenuhnya daripada peluang-peluang yang wujud di Asia yang giat berkembang, dan menikmati kemakmuran.
Matlamat kita adalah untuk memastikan bahawa semua rakyat Singapura dapat menikmati hasil pertumbuhan. Bila Singapura makmur, anda akan mendapat faedah daripada banyak program Pemerintah seperti estet-estet HDB dengan reka bentuk lebih baik, sekolah-sekolah dan hospital-hospital berkualiti lebih tinggi, laluan MRT yang lebih banyak dan tempat-tempat baru untuk beriadah. Tetapi kita semua mesti berusaha. Setiap pelajar mesti mempunyai minat untuk belajar dan melangkah sejauh mungkin. Setiap pekerja mesti cekap menimba ilmu dan kemahiran untuk menjadi produktif dan berdaya saing. Setiap pengurus mesti melatih dan menggalak kakitangannya untuk memaksimumkan sumbangan dan potensi mereka. Hanya dengan cara ini sahaja rakyat Singapura dapat melakukan pekerjaan-pekerjaan yang lebih baik yang akan diwujudkan ekonomi kita, dan menikmati pendapatan lebih tinggi, peluang-peluang yang lebih cerah, dan kehidupan yang lebih memuaskan.
Pemerintah akan menyokong rakyat Singapura dalam perkara ini, dengan membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia untuk orang muda kita, dan program Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) yang menyeluruh untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran pekerja kita.
Sistem pendidikan kita telah menunjukkan kejayaan yang besar. Sebahagian besar daripada para pelajar kita melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi peringkat pos-menengah dan pengajian tinggi. Para lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti mudah mendapat pekerjaan yang baik.
Sistem pendidikan kita memenuhi keperluan semua pelajar, dan bukan hanya para pelajar yang paling cemerlang. Sekolah-sekolah kita tidak setakat mengajar melalui buku tetapi membimbing para pelajar tentang cara menyelesaikan masalah, dan menerapkan nilai-nilai moral dalam diri pelajar. Kita mewujudkan banyak laluan untuk pelajar yang mempunyai kebolehan dan minat yang berbeza untuk maju. Kita membantu setiap sekolah kejiranan untuk menjadi sebuah sekolah yang baik, dengan memiliki kekuatan dan keistimewaan tersendiri. Kita mengenal pasti dan memupuk bakat setiap pelajar dan memberikannya segala peluang untuk menjadi cemerlang.
Kita akan terus memperbaiki sistem pendidikan kita. Kita sedang mengambil dan melatih lebih ramai guru baru untuk membolehkan kita memberikan pendidikan yang lebih menyeluruh. Kita akan membantu setiap sekolah untuk menawarkan sesuatu yang lebih dan berbeza, supaya para pelajar mempunyai lebih banyak pilihan. Kita akan mewujudkan puncak kecemerlangan baru di ITE, politeknik dan universiti untuk membantu para pelajar maju dan berjaya. Saya meminta ibu bapa dan para pelajar berusaha bersama kami bagi memberikan belia-belia kita permulaan yang terbaik dalam kehidupan.
Selain sekolah, kita mesti membangunkan sistem Pendidikan dan Latihan Berterusan. Pemerintah akan melaburkan sebanyak $5.5 bilion sepanjang lima tahun untuk melaksanakannya. Kita sedang membina dua kampus CET, sebuah di Timur dan sebuah lagi di Barat Singapura, dan mengenalkan banyak skim dan insentif untuk membantu syarikat-syarikat dan para pekerja memperbaiki daya penghasilan. Saya gembira atas sokongan kuat majikan dan kesatuan sekerja terhadap CET kerana sokongan mereka adalah penting sekali.
Kita akan membangun dan melabur dalam rakyat kita, tetapi kita juga perlu mengukuhkan pasukan Singapura dengan bakat dan pendatang dari luar negara. Ini adalah genting bagi kita. Negara-negara lain bukan sahaja lebih besar daripada kita, malah mereka mempunyai lebih banyak bakat berbanding dengan kita. Kita perlu menokok kekurangan dalam bilangan pekerja warga Singapura dalam ekonomi dan kekurangan bayi di kalangan penduduk kita. Tanpa limpahan masuk, ekonomi dan masyarakat kita akan menjadi kurang bertenaga pada masa akan datang, rakyat kita tidak akan menikmati banyak peluang, dan sinaran titik merah kita akan semakin pudar.
Saya faham kebimbangan rakyat Singapura mengenai kemasukan pekerja dan pendatang asing yang begitu ramai. Ada di kalangan kita yang tertanya-tanya: Adakah ia akan mengubah ciri-ciri masyarakat kita? Adakah ia bermakna lebih banyak persaingan bagi kita di tempat kerja atau bagi anak-anak kita di sekolah? Adakah pendatang-pendatang baru itu nanti akan berakar-umbi di sini? Dapatkah mereka menyesuaikan diri mereka dengan kita, dan kita dengan mereka?
Ini semua adalah kebimbangan wajar yang harus kita tangani. Kita akan mengawal kemasukan warga asing, untuk memastikan bahawa ia tidak terlalu pesat dan tidak terlalu ramai. Kita akan membenarkan masuk hanya mereka yang dapat memberi sumbangan kepada Singapura, dan kita akan berusaha dengan lebih gigih untuk menyatupadukan para pendatang ini dengan masyarakat kita. Dan kita akan memberi isyarat yang jelas bahawa warga Singapura tetap didahulukan. Lagipun, kita lakukan ini semua untuk rakyat Singapura.
Kita tidak akan dapat mencapai kemajuan tanpa sejumlah pekerja asing, atau kemasukan berterusan penduduk tetap dan warga-warga baru. Marilah kita mengalu-alukan kedatangan mereka dengan hati terbuka, membantu mereka untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini dan menggalak mereka yang menjadi warga untuk berakar umbi di sini. Jika kita dapat melakukan ini dengan baik, menjelang generasi akan datang, anak-anak para pendatang baru ini akan menjadi warga Singapura jati. Ingatlah, kita sendiri merupakan cucu cicit para pendatang juga. Dengan pendatang baru yang dapat hidup dan bekerja secara harmoni bersama-sama penduduk yang dilahirkan di sini, kita akan dapat mengekalkan Singapura sebagai bandar raya yang dinamik, kosmopolitan dan berjaya.
Itulah wajah yang Singapura mesti paparkan kepada dunia semasa Sukan Olimpik Belia (YOG) nanti. Sudah tentu latar bandar raya kita akan dikagumi oleh para tetamu kita. Mereka akan melihat latar langit kita yang terkenal di Marina Bay dan kawasan pusat bandar yang baru; perumahan awam yang bermutu tinggi seperti The Pinnacle, di mana saya berada sekarang ini; dan tempat-tempat lapang yang indah di bandar serta kehijauan alam di seluruh pulau ini.
Lebih penting lagi, kita mesti membuat tetamu kita tertarik dengan semangat rakyat kita. Di Sukan YOG yang pertama ini, marilah kita tunjukkan kebolehan Singapura kepada suluruh dunia. Para atlit kita telah berlatih dengan gigih. Para sukarelawan kita seramai 20,000 orang sudahpun bersedia untuk menyambut tetamu-tetamu kita. Beribu-ribu peserta dan pengunjung akan tiba di sini tidak lama lagi. Saya harap semua rakyat Singapura akan berganding bahu untuk menghasilkan suatu persembahan yang baik, dan menjadikan sukan ini satu kenangan manis bagi semua pengunjung kita.
Pada Hari Kebangsaan kita yang ke-45 ini, marilah kita sama-sama meraikan segala pencapaian kita sebagai satu bangsa. Kita boleh berasa bangga dengan pencapaian kita, tetapi kita mesti terus mempelajari daripada orang lain, memperbaiki diri dalam setiap bidang dan bekerja kuat untuk mencapai matlamat masa depan. Singapura pada masa depan mestilah lebih baik daripada Singapura pada masa ini.
Saya ucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Singapura.