Minister for Environment and Water Resources and Minister-in-charge of Muslim Affairs Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2008 in Malay. The message was recorded at the Istana and telecast on 8 August 2008.
AMANAT HARI KEBANGSAAN 2008
Saudara-saudari setanah air
Kita merayakan Hari Kebangsaan pada tahun ini dalam suasana yang agak berhati-hati. Tempoh dua belas bulan yang lalu merupakan masa yang tidak menentu dari segi ekonomi di serata dunia. Memandangkan cabaran-cabaran luaran yang dihadapi, pencapaian ekonomi Singapura adalah baik. Bagi enam bulan pertama tahun ini, pertumbuhan mencapai 4.5%. Bagi tahun ini, kita menjangkakan pertumbuhan di antara 4 dan 5%. Kita telah menambah 144,000 pekerjaan dalam enam bulan pertama, dan kadar pengangguran tetap berada di paras yang rendah, pada 2.3%.
CABARAN-CABARAN LUARAN
Ekonomi Amerika Syarikat masih menghadapi masalah-masalah serius. Krisis perumahan telah menambah tekanan ke atas sistem kewangannya. Para pengguna di Amerika Syarikat telah mengurangkan perbelanjaan mereka dan ini menjejas seluruh ekonomi global. Kesukaran-kesukaran ini dijangka berlarutan sehingga tahun depan sebelum keadaan beransur pulih.
Sejauh ini, ekonomi Singapura terlindung sedikit kerana kita meraih manfaat daripada kerancakan ekonomi rantau Asia. Namun, ekonomi negara-negara Asia mula merasai kesan masalah-masalah Amerika, dan begitu juga kita. Oleh itu, kita mesti bersiap sedia untuk menghadapi tempoh yang lebih sukar tahun depan.
Di Asia Tenggara, ASEAN kurang mendapat perhatian para pelabur yang memberi lebih tumpuan kepada peluang-peluang di China dan India. Beberapa negara ASEAN sedang menghadapi masalah dalaman ekonomi dan politik. Bagaimanapun, semua negara ASEAN sedar bahawa kita perlu bekerjasama secara padu sebagai satu kumpulan. Singapura akan memainkan peranannya. Tetapi kita mesti juga kekalkan reputasi kita, dalam rantau yang bergelora ini, sebagai sebuah ekonomi yang berdaya saing, sebuah masyarakat yang padu dan sebuah pemerintah yang jujur dan cekap.
Di tengah-tengah perkembangan ini, kita menghadapi masalah inflasi, yang saya pasti sedang berlegar di fikiran anda. Kita terpaksa membayar lebih untuk makanan kita, untuk kuasa elektrik yang kita gunakan, untuk minyak bagi kereta, teksi dan bas yang kita naiki, dan untuk banyak lagi keperluan. Kita tidak boleh menghalang kenaikan harga-harga ini, kerana harga barang-barang turut naik di seluruh dunia, dan kita mengimport semua bahan tenaga dan makanan kita. Tetapi kita sedang berusaha meringankan beban rakyat Singapura, menerusi Dividen Pertumbuhan, skim-skim Jimat Perbekalan (U-Save), Daya Kerja, Medifund dan ComCare. Langkah-langkah ini dikhususkan terutama sekali kepada golongan miskin, tua dan mereka yang sakit, tetapi warga Singapura yang berpendapatan sederhana juga menerima sesuatu, untuk membantu mereka menampung keperluan dalam tempoh ini.
Sebahagian dasar pemerintah, seperti kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) telah menaikkan kos kehidupan. Tetapi, dasar-dasar ini sangat penting : jika tidak, kita tidak akan melaksanakannya: GST membolehkan kita untuk membiayai skim Daya Kerja dan skim-skim lain untuk membantu rakyat Singapura yang bergaji rendah dalam tempoh jangka panjang, dan ERP pula melancarkan perjalanan di jalan raya kita. Juga, harus ingat bahawa Pemerintah telah memberikan rebat GST dan potongan cukai jalan raya, yang lebih daripada mencukupi untuk menampung kenaikan kos bagi kebanyakan rakyat, terutamanya bagi golongan miskin.
Saya tahu rakyat Singapura inginkan agar harga barang-barang tidak dinaikkan atau dasar-dasar ini tidak dilaksanakan. Malangnya, ini tidak mungkin dilakukan. Namun, kita lakukan apa yang terbaik seterusnya: iaitu mengambil langkah-langkah bantuan yang berkesan, dan memberi golongan susah bantuan yang mereka perlukan.
MEMBINA UNTUK JANGKA PANJANG
Kita mesti memandang lebih jauh, bukan terikat dengan masalah-masalah seperti kos kehidupan yang kita hadapi sekarang, agar kita dapat memahami apa yang berlaku di dunia sekeliling kita, mencari peluang-peluang baru dan mengatasi cabaran-cabaran jangka panjang kita. Dengan cara ini, kita dapat menguatkan diri, dan lebih bersedia mengharungi krisis masa hadapan. Khususnya, kita perlu memajukan ekonomi , menambah bilangan penduduk kita dan terus mengembangkan sistem kita sejajar dengan dunia yang berubah.
Untuk mencapai aspirasi kita, kita perlu membangun dan berkembang. Sekiranya kita tidak dapat wujudkan kemewahan, kita tidak akan perolehi sumber untuk melakukan apa-apa pun. Oleh kerana kita telah bekerja keras ketika kita berada dalam keadaan baik beberapa tahun lalu, kini, kita dapat menjalankan banyak projek besar seperti Perlumbaan Kereta Formula Satu, resort-resort bersepadu, dan pelaburan-pelaburan perusahaan besar seperti loji sel solar yang terbesar di dunia. Projek-projek ini akan mewujudkan banyak pekerjaan yang baik, dan mengekalkan momentum kita walaupun keadaan sekitaran tidak menentu.
Untuk meningkatkan ekonomi kita, kita mesti melabur menerusi rakyat kita, terutama dalam bidang pendidikan. Kita telah mempertingkatkan politeknik-politeknik dan Institut-institut Pendidikan Teknikal kita, di mana kebanyakan pelajar kita menuntut. Kita juga telah menambah jumlah tempat bagi pelajar di universiti-universiti. Pemerintah telah meluluskan rancangan untuk membina sebuah universiti baru yang dibiayai dana awam. Kampusnya terletak di Changi dan akan disediakan dengan perkhidmatan bas dan keretapi yang baik untuk dihubungkan ke seluruh negara. Ia akan mengambil kumpulan mahasiswa yang pertama pada 2011. Universiti baru ini akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Singapura untuk memajukan diri dan mencapai kejayaan.
Untuk menjamin masa depan, kita juga perlu mempunyai bilangan bayi yang cukup untuk menggantikan kita. Tahun demi tahun, bilangan rakyat Singapura yang mendirikan rumah tangga semakin berkurangan, dan mereka yang berkahwin pula mempunyai bilangan anak yang semakin kecil. Kita telah laksanakan langkah demi langkah sepanjang beberapa tahun lalu, namun kita masih belum berjaya mengubah trend ini.
Kita haruslah memandang serius perkara ini. Perkahwinan dan mempunyai zuriat adalah keputusan peribadi. Namun, kita boleh wujudkan satu persekitaran di mana rakyat Singapura melihat perkara ini sebagai sesuatu yang semula jadi dan penting dalam kehidupan, dan di mana pasangan muda diberi sokongan untuk membina rumah tangga. Kita telah tinjau perkara ini secara menyeluruh dan akan mengambil langkah-langkah lanjut untuk menangani masalah praktikal yang dihadapi pasangan-pasangan. Saya berharap agar lebih ramai rakyat Singapura akan mendapat kepuasan diri dalam membesarkan anak-anak dan membina keluarga bahagia. Marilah kita jadikan Singapura sebuah tempat tinggal yang selesa di mana rakyatnya dapat menjalani kehidupan yang penuh bermakna dan gembira dalam mengasuh generasi akan datang.
Generasi baru ini akan membesar dalam dunia digital. Internet sedang mengubah masyarakat dan ekonomi di mana-mana. Ia akan mengubah cara kita bekerja, belajar dan menjalani kehidupan seharian. Kita mesti belajar menyesuaikan diri dan menggunakannya untuk mendidik dan mendampingi warga-siber. Kita akan kembangkan dasar-dasar dan peraturan-peraturan kita, ekonomi dan masyarakat kita, agar kita dapat meraih manfaat dengan sepenuhnya. Kita akan terus membuka ruang dalam sistem kita secara progresif. Ini adalah arah yang betul untuk dituju. Tetapi kita juga harus berhati-hati demi mengelakkan bahaya yang mungkin timbul di ruang siber, dan belajar melindungi diri kita daripadanya.
Semua ini adalah isu-isu jangka panjang. Tidak banyak negara dapat huraikan isu-isu ini dengan berkesan. Kadang kala politik memaksa pemerintah-pemerintah untuk menumpukan perhatian kepada masalah-masalah segera, dan tidak mengendahkan apa yang berlaku selepas pilihan raya berikutnya. Di negara-negara lain pula, "politik wang" mencemari keseluruhan sistem. Singapura adalah unik, kerana mempunyai pemerintah yang bersih dan mantap, bertanggungjawab dan responsif. Kita berjaya mengelakkan pergolakan politik yang melanda beberapa negara di sekeliling kita. Kita tidak pernah menghadapi bantahan-bantahan lantang daripada kaum-kaum minoriti yang merasakan bahawa diri mereka kurang diberi layanan adil. Kita juga tidak menghadapi tunjuk-tunjuk perasaan yang kecoh, yang dianjurkan atas pelbagai jenis alasan sama ada betul atau direka-reka. Sebaliknya, kita memilih para pemimpin mengikut merit, membina kepercayaan antara para pemimpin dan rakyat, dan bekerjasama untuk kebaikan semua rakyat Singapura. Inilah caranya bagaimana Singapura mencapai prestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Sedang kita membuka ruang dalam masyarakat, kita mesti terus mengekalkan kekuatan-kekuatan ini. Harap faham, semua kebebasan mestilah disertakan dengan tanggungjawab untuk mengekalkan kestabilan dan keselamatan sosial. Barulah, Singapura akan dapat mengekalkan daya tarikan kepada pelabur, ekonomi kita akan terus berkembang dan kita akan dapat terus mencapai yang terbaik untuk negara.
KESIMPULAN
Meskipun adanya keadaan tidak menentu di rantau ini dan dalam ekonomi dunia, Singapura masih berada dalam kedudukan yang kukuh. Pada masa-masa senang dan sukar, kita kekal bersatu, memandang jauh dan bergerak maju ke hadapan dengan hati-hati tetapi bersemangat.
Pada ulang tahun kemerdekaan kita ini, marilah kita bersama-sama merasa bangga dengan pencapaian kita, menangani cabaran bersama dan terus membina Singapura yang lebih baik dan lebih bertenaga.
Saya ucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Singapura.