Minister for Environment and Water Resources Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2007 in Malay. The message was on 8 August 2007.
AMANAT HARI KEBANGSAAN 2007
Rakan-rakan senegara
Kita menyambut Hari Kebangsaan pada hari ini dalam suasana gembira. Tahun ini adalah satu lagi tahun yang baik bagi Singapura. Pada keseluruhannya, kita telah mencapai pertumbuhan yang baik untuk empat tahun berturut-turut.
Kita ada banyak sebab untuk berasa gembira:
Atlit-atlit kita menang banyak pingat
Cef-cef kita menang hadiah dalam peraduan-peraduan masakan
Para usahawan kita melancarkan perniagaan-perniagaan baru
Para pelajar kita mencapai kejayaan cemerlang dalam berbagai-bagai acara antarabangsa — kejohanan robotik, pesta koir, peraduan bahas, peraduan menghuraikan masalah secara kreatif dan pertandingan Olimpiad matematik dan sains.
Kita sedang menyiapkan diri untuk projek-projek yang baru dan menarik, seperti perlumbaan Grand Prix Formula Satu dan Resort Bersepadu.
Pertumbuhan ekonomi kita dalam separuh pertama tahun ini ialah 7.6%, lebih tinggi daripada jangkaan kita. Bagi seluruh tahun ini, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan telah menaikkan ramalan pertumbuhannya kepada 7-8%. Apa yang menggembirakan ialah, kita berjaya menambah 111,000 pekerjaan dalam separuh pertama tahun ini — iaitu bilangan pekerjaan yang tertinggi yang pernah diwujudkan sejauh ini. Pengangguran berada di paras yang rendah, pada 2.4%. Para pekerja mula menikmati kenaikan gaji yang baik dan bonus lebih tinggi kerana syarikat-syarikat berjaya dalam perniagaan mereka.
Singapura berkembang bukan hanya kerana kita mempunyai lebih banyak pelaburan atau lebih ramai pekerja. Rakyat kita menyesuaikan diri dengan perubahan dan bekerja dengan lebih bijak. Kita merancang dan mengatur diri dengan lebih cekap, dan memanfaatkan sumber-sumber kita dengan lebih baik. Secara ringkas, kita telah meningkatkan daya penghasilan kita. Usaha kita untuk mengubah ekonomi Singapura telah membuahkan hasil. Ekonomi dunia terus berubah. Jika kita dapat terus menyesuaikan diri dengan perubahan ini, kita akan dapat mengekalkan pertumbuhan kukuh untuk tahun-tahun mendatang.
KEADAAN BAIK PADA HARI MUKA
Sepuluh tahun telah berlalu sejak krisis kewangan Asia. Asia telah berkembang, dan menjadi lebih maju dan dinamik. China dan India sedang tumbuh pesat, dan ekonomi Jepun telah pulih semula. Asia Tenggara tidak sepi daripada masalah, tetapi pada keseluruhannya, rantau ini telah teguh semula. Harga kuasa tenaga yang tinggi membawa faedah kepada negara-negara pengeksport seperti Malaysia dan Indonesia dan rantau ini kini maju semula. Walaupun keadaan pasaran kewangan global agak tidak menentu beberapa hari yang lalu, dalam jangka masa pertengahan, asas bagi Asia tetap kukuh.
Singapura berada di tengah-tengah rantau Asia yang sedang bangkit ini. Kita mempunyai banyak sumber kekuatan.
Masyarakat kita cekap dan bebas rasuah;
Pekerja kita berdisiplin dan berpelajaran;
Masyarakat berbilang bangsa kita kukuh dan bersatu padu;
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan pasukan keselamatan dalam negeri cekap dan waspada.
Memandang ke hadapan, kita telah bersiap sedia untuk mencapai kemajuan yang lebih tinggi. Banyak perubahan sedang berlaku. Di Marina South, berbagai projek sedang dijalankan � resort bersepadu, pusat perbankan dan kewangan sedang dalam pembinaan, dan tidak lama lagi kebun bunga yang baru. Kita dapat rasakan kerancakan dan keghairahan, sedang kita saksikan bandar raya kita berubah saban hari. Malahan, perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini juga berbeza dan menarik. Buat pertama kali ia akan diadakan di atas air di Marina Bay. Di atas pentas terapung yang terbesar di dunia, dengan berlatarkan bandar raya baru yang sedang terbentuk.
Kita tidak hanya membentuk semula bandar raya kita, tetapi kita juga mewujudkan sekitaran hidup kelas pertama untuk semua rakyat Singapura. Kita sedang menyegarkan semula estet-estet HDB yang menjadi tempat tinggal rakyat kita dan menghubungkannya dengan taman-taman, parit dan sungai-sungai. Kita juga sedang menghubungkan seluruh pulau ini dengan sistem pengangkutan awam bermutu tinggi, dan setiap rumah dengan internet berkelajuan tinggi. Semua ini akan meningkatkan nilai rumah anda, dan mengeratkan lagi hubungan masyarakat.
Dalam masa sedekad, kota dan seluruh negara kita akan berubah sama sekali. Perubahan kita menarik perhatian dunia. Singapura akan berwajah baru, tetapi dengan identiti unik Kota Singa bersemangat "kita boleh" dan tidak mudah menyerah.
JURANG PENDAPATAN YANG SEMAKIN BESAR
Namun, sedang kita bersama-sama membina negara ini, kita menghadapi satu cabaran yang genting kepada keharmonian sosial dan perpaduan negara kita. Jurang pendapatan terus melebar — di sini dan di serata dunia. Dengan globalisasi, ratusan juta pekerja yang tidak mahir menyertai ekonomi sejagat. Penyertaan mereka telah merendahkan pendapatan golongan pekerja yang bergaji paling rendah. Perubahan teknologi yang pesat juga menjadikan pekerjaan-pekerjaan lebih kompleks. Permintaan bagi mereka yang berkemahiran dan berkebolehan tinggi semakin meningkat dan mereka dibayar gaji yang lebih tinggi.
Kita tidak boleh menghentikan atau melawan arus tren global ini. Tetapi banyak yang kita boleh lakukan untuk menolong rakyat Singapura mengatasinya dan membolehkan setiap orang mendapat manfaat daripada kejayaan Singapura.
Pendekatan asas kita ialah untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Jika syarikat-syarikat berkembang, lebih banyak pekerjaan yang lebih baik dapat diwujudkan untuk semua. Ini akan memberikan kita sumber untuk memaksimumkan peluang untuk semua orang. Kita dapat memberi setiap kanak-kanak peluang mencapai yang terbaik untuk diri mereka. Kita juga boleh membantu setiap keluarga memiliki rumah mereka sendiri — malahan program pemilikan rumah HDB merupakan bentuk kebajikan sosial yang terbaik untuk rakyat Singapura.
Kami sedang perbaiki jaringan keselamatan sosial kita. Program seperti ComCare dan Pendapatan Tambahan Daya Kerja membantu keluarga bergaji rendah. Lebih penting lagi, kami mahu menolong mereka dan anak-anak mereka keluar daripada lingkaran kemiskinan menerusi pendidikan dan latihan. Itulah sebabnya kami mewujudkan sekitaran pembelajaran cemerlang di setiap sekolah kejiranan, dan bukan di segelintir sekolah terbaik sahaja. Pada masa yang sama, kami membantu para pekerja bergaji rendah untuk belajar kemahiran baru, agar mereka dapat meningkatkan keupayaan mendapat kerja, dan perbaiki taraf kehidupan keluarga mereka.Satu faktor yang melebarkan jurang pendapatan kita ialah penduduk yang semakin lanjut usia. Rakyat Singapura sekarang hidup lebih lama. Kita harus membantu warga tua agar dapat menjalani kehidupan yang selesa dengan memastikan kos jagaan kesihatan termampu, menjadikan bandar kita bebas halangan, dan pengangkutan awam pula mesra pengguna kerusi roda. Mereka yang ada simpanan yang cukup akan berasa masa depan mereka terjamin. Tetapi mereka yang bersara terlalu awal mungkin tidak ada simpanan yang cukup untuk usia senja mereka. Saya tahu ramai warga tua Singapura bimbang tentang masa depan mereka. Kami akan adakan beberapa perubahan untuk bantu anda untuk kerja lebih lama, mendapat pendapatan yang lebih dan tingkatkan simpanan persaraan. Kami akan tingkatkan nilai flat HDB anda yang merupakan pelaburan untuk usia senja. Kami akan baiki skim CPF agar anda boleh menikmati pendapatan tetap dan tenang dalam meniti zaman emas anda.
Walau bagaimanapun, Pemerintah sendirian tidak dapat mengatasi semua masalah ini. Setiap orang mesti memainkan peranan. Setiap orang mesti bertanggungjawab terhadap dirinya, berusaha untuk maju, dan menyara keluarga dan dirinya di hari tua. Pada masa yang sama, rakyat Singapura yang lebih berjaya mestilah membantu golongan lemah. Lebih banyak faedah yang anda telah perolehi daripada masyarakat, lebih besar lagi kewajipan anda untuk menyumbang kembali kepada warga senegara anda. Sumbanglah dengan ikhlas. Ramai rakyat Singapura melakukannya secara senyap-senyap. Untuk berkembang maju sebagai sebuah negara, kita perlu berjiwa ihsan sambil berdaya saing. Sedang kita mendorong satu sama lain untuk tunjukkan prestasi yang tinggi dan mencapai kecemerlangan, kita juga mesti bekerjasama dan mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan.
YAKIN TERHADAP MASA HADAPAN
Kita akan mengatasi isu-isu ini satu persatu, dan menangani masalah-masalah yang pasti muncul dalam dunia yang tidak menentu ini. Tetapi kita mempunyai banyak sebab untuk berasa yakin dengan masa hadapan kita. Suasana global meyakinkan. Keadaan sekeliling juga memihak kepada kita. Semangat kita berkobar-kobar dan kita sudah bersedia.
Marilah kita mengambil peluang ini bersama-sama menuju ke masa hadapan yang cerah lagi rancak yang sudahpun dapat kita lihat. Mari kita bersama-sama merubah Singapura dan menjadikannya sebuah tanah air yang istimewa untuk kita semua.
Saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Singapura.