Rapat Umum Hari Kebangsaan 2008
Selepas beberapa tahun berkembang, tahun ini ekonomi kita hadapi lebih banyak cabaran. Ekonomi Amerika Syarikat mengalami masalah serius dan ini menjejas seluruh dunia. Kesukaran ini dijangka berterusan sekurang-kurangnya ke tahun depan. Ekonomi kita dijangka lembap, tetapi saya yakin kita akan berjaya harungi badai ini.
Satu kebimbangan besar rakyat Singapura adalah inflasi yang meningkat. Di merata dunia, harga sumber tenaga dan makanan telah melambung tinggi. Di Singapura pun, harga banyak barang telah naik. Rakyat Singapura berasa keperitannya. Kos sara hidup yang lebih tinggi menjejas lebih-lebih lagi golongan bergaji rendah, termasuk keluarga Melayu/Islam.
Pemerintah berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban ke atas rakyat Singapura. Kita telah mengagihkan bantuan yang besar dalam Belanjawan tahun ini. Hampir setiap keluarga dapat habuan, tetapi golongan susah dan warga tua mendapat agihan terbanyak. Bantuan yang diterima cukup untuk menampung kenaikan harga barang.
Anda boleh membantu diri sendiri. Berbelanjalah dengan bijak, dan belilah barangan berjenama pasaraya (atau house brands), bukan barangan berjenama terkenal yang sememangnya lebih mahal. Setiap keluarga juga harus berjimat dan berdisiplin dalam hal-hal kewangan. Bak kata peribahasa: Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
Saya telah bercakap tentang perkara ini beberapa bulan lalu, dan saya gembira masyarakat Melayu/Islam telah memberi respons yang membina. Misalnya, banyak keluarga telah menyertai program "Mengurus Kewangan Anda" (Talking Dollars And Sense) anjuran CDC atau Majlis Pembangunan Masyarakat. Ia telah membantu mereka merancang kewangan, mengawal perbelanjaan dan mengurangkan hutang mereka. Keluarga-keluarga ini kurang berasa tertekan sebab mereka tahu cara menangani masalah kewangan.
Namun pada masa-masa sukar ini saya sangat khuatir tentang keluarga pincang, terutama sekali masa depan anak-anak mereka. Masyarakat Melayu/Islam sedang bekerja keras untuk mengatasi masalah ini. Pada bulan lalu, saya telah hadiri jamuan ulang tahun PPIS (atau Persatuan Pemudi Islam Singapura). Saya kagum melihat begitu ramai kaum wanita Melayu/Islam yang berpendidikan, berkerjaya dan berkeluarga tetapi masih aktif menyumbang kepada PPIS. Mereka adalah karyawan generasi baru. Mereka menganjurkan program bagi ibu tunggal dan mengendalikan pusat-pusat khidmat keluarga. Ini suatu contoh golongan Melayu/Islam berjaya yang tampil berkhidmat kepada masyarakat.
Menangani masalah keluarga pincang adalah satu usaha jangka panjang. Mendaki sedang bekerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam, menerusi Forum Pemimpin Masyarakat, untuk menggembleng seluruh masyarakat. Pemerintah menyokong kuat usaha ini. Masyarakat Melayu/Islam juga harus beri sokongan anda. Untuk tujuan ini, kita harus peruntukkan lebih banyak sumber menerusi Mendaki, dari MBMF (atau Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki). Dengan cara ini, kita boleh mencapai lebih banyak kemajuan.
Selain memberi dana kepada Mendaki, MBMF juga menyokong program pembinaan masjid. Ini adalah satu inisiatif masyarakat yang amat berjaya sekali. Selama 30 tahun, menerusi MBMF, masyarakat Melayu/Islam telah membina masjid-masjid baru serba moden, satu demi satu, di seluruh Singapura. Sebanyak 22 buah masjid telah dibina, dan masjid yang ke-23, Masjid Al-Mawaddah di Sengkang, akan siap tahun ini. Ramai pelawat dari negara-negara jiran telah kunjungi dan kagumi masjid-masjid kita, termasuk cara ia ditadbir. Tentu sekali ini satu penghormatan kepada masyarakat Melayu/Islam kita.
Sekarang, program pembinaan masjid hampir selesai. Soalnya, ialah apa yang akan kita lakukan selanjutnya? Saya cadangkan kita mulakan satu program baru: iaitu program peningkatan masjid.
Masjid-masjid yang dibina lebih awal telah menunjukkan tanda-tanda usang. Saya ingat lagi sekitar 25 tahun lalu, sebelum saya masuk politik. Ketika itu, saya sedang memandu. Saya baru pulang dari Johor Baru, dan pertama kali melihat Masjid An-Nur di Woodlands. Ia begitu indah dengan menara birunya. Terus saya terfikir, "Wah, cantiknya masjid ini." Orang-orang lama mungkin masih ingat, Masjid An-Nur dibina pada tahun 1980. Ia adalah antara enam masjid "generasi baru" pertama yang dibangunkan di bawah Dana Pembinaan Masjid. Hari ini, memang ia masih indah tetapi saya juga telah berkunjung ke Masjid An-Nahdhah di Bishan dengan Pusat Harmoninya. Saya juga telah melihat reka bentuk Masjid Al-Mawaddah yang begitu menarik. Kedua-dua masjid ini ada keistimewaan tersendiri. Mereka ada "oomph".
Ternyata, masjid-masjid lama kita memerlukan nafas baru. Ini boleh dilakukan dengan membaik-pulih dan menambah kemudahan masjid-masjid lama ini. Misalnya, kita boleh sediakan bilik-bilik kegiatan untuk belia serta membina lif dan tanjakan (atau ramp) untuk jemaah warga emas. Hasilnya, masyarakat akan dapat memanfaatkan masjid-masjid yang mempunyai kemudahan terkini, dan memenuhi pelbagai keperluan masyarakat Islam moden.
Program pembinaan dan peningkatan masjid kita perlu dilengkapkan dengan pendidikan agama yang baik. Tahun lalu, tiga madrasah sepenuh masa (Aljunied, Al-Irsyad dan Al-Arabiah) telah bergabung membentuk Sistem Madrasah Bersama (JMS). Mereka akan bekerjasama dengan MUIS untuk memperkaya dan meninggikan mutu pendidikan madrasah. Tetapi untuk melakukan ini, ketiga-tiga madrasah memerlukan lebih banyak sumber. Mereka bercadang untuk mengumpul dana dan telahpun meminta sokongan MUIS.
Pemerintah telah menimbangkannya dengan teliti. Madrasah bukanlah sebahagian daripada sistem sekolah negara, jadi sukar untuk pemerintah membiayai madrasah. Bagaimanapun, ada baiknya jika kita dapat menggembleng sokongan masyarakat Melayu/Islam yang lebih luas. Kita boleh timbangkan kemungkinan menggunakan sebahagian daripada dana MBMF untuk pendidikan agama, termasuk inisiatif seperti JMS.
Saya telah sentuh tiga inisiatif utama bagi masyarakat Melayu/ Islam:
Pertama, memperluas usaha Mendaki membantu keluarga pincang;
Kedua, melancarkan program peningkatan masjid; dan
Ketiga, membiayai pendidikan agama menerusi MBMF.
Untuk melaksanakannya, kita perlu menaikkan kadar sumbangan pekerja kepada MBMF. Tetapi pada masa yang sama, kita pastikan kadarnya adalah termampu, terutama sekali bagi pekerja yang bergaji rendah.
Saya telah bincangkan idea-idea ini dengan Menteri Yaacob Ibrahim, dan para Anggota Parlimen Melayu. Mereka telah merisik-risik pandangan para pemimpin masyarakat dan telah menerima sokongan bagi idea-idea ini. Dr Yaacob akan melakarkan butir-butirnya dan mengumumkan cadangan-cadangan khusus, minggu ini.
Dalam melakukan penyesuaian ini ke atas MBMF dan pendidikan agama, kita harus ingat tentang masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama Singapura. Sedang kita mengekalkan tradisi dan mengamalkan kepercayaan agama masing-masing, kita juga harus kukuhkan ikatan kita sebagai sebuah negara. Inilah cara bagaimana kita dapat kekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat. Kita harus hargai pencapaian ini dan menatangnya bagai minyak yang penuh.
Oleh itu, sedang masyarakat Melayu/Islam meningkatkan kemudahan masjid, anda harus terus sertai kegiatan akar umbi yang lain. Masjid-masjid juga harus menganjurkan kegiatan bersama dengan pertubuhan masyarakat yang lain.
Satu contoh yang baik ialah acara Rahmatan Lil Alamin yang saya hadiri di Masjid Al-Iman di Bukit Panjang baru-baru ini. Acara itu mengadakan derma darah dan menjamu golongan susah tidak kira bangsa atau agama. Juadahnya dimasak sendiri oleh sukarelawan dari semua masjid di Singapura. Saya tidak menderma darah tetapi saya beruntung dapat makan nasi beriani yang sungguh lazat.
Tidak kurang pentingnya, sedang masyarakat Melayu/Islam meningkatkan pendidikan madrasah, anda harus peruntukkan sumber bagi membaiki pembelajaran bahasa Inggeris, matematik dan sains. Dengan cara ini, masyarakat Melayu/Islam akan terus mencapai kemajuan ekonomi dan sosial, demi memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
Masyarakat Melayu/Islam sedang membina sebuah Masyarakat Cemerlang yang progresif dan tergabung baik dengan masyarakat lain. Semangat masyarakat Melayu/Islam adalah kental, bersatu dan yakin. Dengan sokongan penuh daripada Pemerintah, marilah kita teruskan usaha untuk membaiki apa yang kita telah capai, dan menempa kejayaan yang lebih besar untuk masyarakat Melayu/Islam dan juga Singapura.