Minister for Information, Communications and the Arts Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2012 in Malay. The message was recorded at Bishan-Ang Mo Kio Park and telecast on 8 August 2012.
AMANAT HARI KEBANGSAAN 2012
Saudara-saudari yang dihormati,
Kita sambut Hari Kebangsaan dalam suasana dunia yang sedang bergolak. Eropah dan Amerika Syarikat sedang hadapi masalah ekonomi yang serius. Asia menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada rantau lain, tetapi pertumbuhan di China dan India kini lebih perlahan dan rantau Laut Cina Selatan dibahangi ketegangan.
Dengan latar belakang ini, pertumbuhan Singapura adalah agak baik. Ekonomi kita tumbuh 1.7% dalam separuh pertama 2012 dan kita berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan 1.5 hingga 2.5% bagi seluruh tahun ini. Di persada antarabangsa, Singapura berada di kedudukan yang tinggi, sama ada di kalangan negara-negara yang sedang berkembang seperti India dan China atau negara-negara maju seperti Amerika Syarikat. Di dalam negeri, kita sedang menguruskan tunggakan permohonan-permohonan untuk dapatkan flat HDB, membina lebih banyak laluan MRT dan mempertingkatkan perkhidmatan bas. Baucar-baucar GST dan rebat Jimat-Perbekalan (U-Save) kita akan membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah menampung inflasi.
Hari ini, Singapura adalah contoh negara yang berjaya, tetapi dunia tidak akan kekal sama. Keadaan dalam dua dekad yang akan datang akan jauh berbeza daripada sekarang. Ekonomi-ekonomi yang membangun di Asia sedang maju dengan pesatnya. Kemajuan dalam sains dan teknologi akan mengubah hidup kita. Singapura akan hadapi banyak cabaran dan peluang-peluang baru.
Kita harus tanya diri kita beberapa soalan asas: Apakah masa depan yang kita lihat bagi Singapura? Tempat tinggal yang bagaimanakah yang kita mahukan untuk anak-anak kita? Saya percaya kita semua mahu kekal berasa bangga sebagai warga Singapura, dan menetap di sebuah negara maju yang memenuhi aspirasi kita. Apakah maknanya semua ini?
Pertama, Singapura mesti sentiasa menawarkan harapan bagi masa depan yang lebih baik. Kita mesti sentiasa menjadi sebuah masyarakat yang adil dan saksama yang mewujudkan peluang bagi semua orang. Sekitaran yang bersifat memupuk dan terbuka yang memberi setiap warga peluang untuk mengejar impiannya. Sebuah masyarakat yang memandang ke hadapan di mana setiap generasi memperbaiki lagi apa yang diwarisi dan kemudian menyerahkan sebuah Singapura yang lebih sempurna kepada anak-anak mereka. Inilah caranya untuk menambat rakyat Singapura yang berkebolehan dan berdaya usaha agar kekal di sini, dan memberi inspirasi kepada kita untuk memajukan Singapura.
Warga Singapura mahukan pendidikan terbaik, supaya mereka dapat mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya dan menjadi orang yang lebih baik. Kita akan lengkapkan mereka dengan kemahiran dan ilmu supaya dapat berkembang maju dalam dunia yang tidak menentu. Kita mesti bekerjasama dengan ibu bapa supaya mereka dapat membawa anak-anak mereka ke titik permulaan yang lebih sama rata ketika anak-anak mereka memasuki sekolah rendah, menerusi pusat-pusat jagaan kanak-kanak dan tadika-tadika yang baik dan dimampui. Kita akan buka lebih banyak laluan dalam sistem pendidikan kita untuk memenuhi aspirasi warga-warga muda yang pelbagai. Marilah kita persiapkan setiap kanak-kanak untuk harungi ujian hidup, bukan sahaja hidup yang penuh dengan ujian-ujian.
Kedua, Singapura mesti menjadi sebuah masyarakat inklusif yang berhati mulia. Kita berpegang pada sistem meritokrasi, untuk mendorong setiap orang melakukan yang terbaik. Tetapi pencapaian individu hendaklah disederhanakan dengan adanya rasa tanggungjawab. Golongan yang berjaya mempunyai kewajipan untuk menyumbang balik kepada masyarakat. Kita perlu melayan satu sama lain secara berhemah dan hormat, dan mengongsi hasil kejayaan seluasnya, supaya tiada warga Singapura yang ketinggalan.
Kita telah bekerja keras untuk membentuk sebuah Singapura yang inklusif selama bertahun-tahun. Program pemilikan rumah kita memberikan setiap warga Singapura, tidak kira kaya atau miskin, taruhan dalam negara kita. Sistem pendidikan kita yang bertaraf universal dan hampir percuma melengkapkan setiap anak dengan kemahiran untuk berjaya dalam kehidupan. Sistem jagaan kesihatan kita menyediakan penjagaan yang berkualiti dan dimampui bagi setiap warga Singapura.
Tetapi lama-kelamaan dengan terbitnya keperluan-keperluan baru, kita telah meningkatkan jaringan keselamatan sosial kita. Kita telah memperkenalkan skim ComCare untuk membantu golongan yang memerlukan, dan Daya Kerja untuk pekerja berpendapatan rendah. Pasangan suami-isteri berpendapatan rendah dan sederhana sekarang mendapat Geran Perumahan tambahan untuk membeli flat-flat HDB. Di sekolah, Dana Peluang membolehkan pelajar-pelajar yang kurang mampu untuk menyertai dengan sepenuhnya program pengayaan dan lawatan sambil belajar.
Belanjawan pada tahun ini merupakan satu langkah lanjutan yang penting. Kita telah memperkenalkan program-program baru. Program Bonus Perumahan Untuk Warga Emas memberi manfaat kepada penduduk tua kita. Subsidi tambahan bagi penjagaan di rumah membantu lebih ramai keluarga yang mempunyai warga tua. Ini bukan pemberian sekali sahaja, tetapi satu pakej yang direka dengan teliti yang menyediakan asas bagi jaringan keselamatan yang lebih kukuh bagi masa hadapan.
Kita akan perbaiki inisiatif-inisiatif ini dengan cara yang berkekalan. Pemerintah akan meningkatkan usahanya tetapi ia tidak boleh melakukan segala-galanya. Setiap warga Singapura mesti memainkan peranannya dalam mewujudkan Singapura yang inklusif. Inilah caranya untuk kita membangunkan sebuah masyarakat yang bersatu padu, dan melakukan yang terbaik untuk diri kita dan satu sama lain.
Ketiga, Singapura mestilah menjadi tempat tinggal yang kita semua cintai. Kita telah membina satu tempat tinggal yang unik di pulau kita yang kecil ini, mencapai kesimbangan antara mengekalkan yang lama dan menerima yang baru. Marilah kita menjadikannya tempat kediaman yang lebih baik lagi. Sebuah kediaman yang cantik dengan ruang-ruang hijau, langit biru dan air yang jernih, seperti di sini di Taman Bishan-Ang Mo Kio. Sebuah kediaman yang dihargai di mana kita membina kenangan-kenangan manis dan persahabatan sepanjang hayat. Tempat kediaman yang selamat yang kita akan pertahankan.
Rasa kekitaan dan jati diri ini adalah penting bagi satu masyarakat yang terbuka dalam dunia yang sudah menjalani penyejagatan. Tetapi ia juga lebih sukar untuk memupuk perasaan ini bila kita mempunyai pendatang baru dan pekerja asing. Kami sedang mengawal kemasukan mereka untuk mengurangkan bebanan ke atas prasarana dan masyarakat kita. Tetapi warga Singapura harus kekal yakin dan bersikap terbuka, dan menyambut baik mereka yang akan memperkukuhkan pasukan kita dan membantu kita dan anak-anak kita menjadi lebih baik. Bagi pihak mereka, para pendatang baru mestilah berusaha untuk berintegrasi dengan masyarakat kita. Mereka mesti memiliki nilai-nilai sosial dan budaya kita, mengamalkan norma-norma sosial kita dan menunjukkan kesetiaan dan rasa cinta kepada Singapura.
Namun, sedang kita pastikan masyarakat kita kekal bersikap terbuka kepada pendatang, kita akan terus bangunkan generasi kita yang baru. Warga Singapura mahu menambah bilangan angggota keluarga mereka. Ramai pasangan yang inginkan anak, dan kami akan berikan lebih banyak sokongan bagi kehidupan berkeluarga dan sebagai ibu bapa. Saya gembira bahawa kita boleh jangkakan lebih ramai bayi Tahun Naga akan dilahirkan pada tahun ini, tetapi trend kesuburan kita masih terus merosot. Kita harus lakukan lebih daripada sekadar mengharapkan zodiak Cina dan menangani punca-punca asas yang menyebabkan kadar kelahiran kita yang rendah. Jika kita dapat mewujudkan sikap sosial dan sekitaran kerja yang lebih menyokong, dan membantu meringankan beban yang dipikul oleh ibubapa, kita akan membantu pasangan-pasangan mempunyai lebih ramai anak.
Lebih daripada isu-isu khusus seperti immigresen dan kelahiran, kita perlu semak semula dasar-dasar kita secara lebih luas lagi, terutama sekali dasar-dasar sosial dan pendidikan. Untuk terus kekal menjadi titik merah yang bersinar untuk dua puluh tahun lagi, kita mesti fikirkan semula pendekatan-pendekatan kita, dan mencipta semula diri kita. Kita mesti menjangkakan perubahan-perubahan dan bersedia hadapi cabaran-cabaran masa depan. Warga Singapura akan kekal sebagai teras dalam segala perkara yang kita lakukan, sedang kita mengemas kini dasar-dasar kita supaya dapat memberikan yang terbaik kepada warga kita. Nilai-nilai asas seperti meritokrasi, berbilang kaum dan berjimat cermat tidak akan berubah. Tetapi di antara prinsip-prinsip yang luas ini, kita harus menyemak semula apa yang perlu diubah dan di mana kita harus bertindak dengan lebih berani lagi.
Saya telah meminta Menteri Heng Swee Keat untuk mempengerusikan sebuah jawatankuasa menteri yang lebih muda untuk mengambil pendekatan segar pada apa yang sedang kita lakukan. Kami akan melibatkan warga Singapura dalam semakan ini, dan membina konsensus yang lebih luas tentang langkah ke hadapan. Saya ingin dapatkan sokongan anda dalam usaha ini.
Singapura adalah kediaman kita yang kita kongsi sama. Kejayaan Singapura bergantung kepada apa yang kita usahakan. Dengan sumber-sumber, azam dan imaginasi kita, Singapura berada di kedudukan yang baik untuk berjaya dalam dunia yang berubah-ubah. Marilah kita semua bekerjasama supaya anak-anak kita sentiasa mempunyai harapan masa depan yang lebih baik di sini, satu masyarakat yang inklusif yang berhati mulia , dan tempat tinggal yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan!