Speech (Malay) by PM Lee Hsien Loong at the SG50Kita National Day Observance Ceremony on 8 August 2015.
Saudara saudari sekelian
50 tahun lalu, ketika kita mula membangunkan Singapura, kita berazam membina sebuah masyarakat yang berbilang bangsa, dengan setiap warga ada peluang sama rata, tidak kira bangsa, bahasa atau agama. Itulah asas kewujudan kita. Itulah sebabnya kita tinggalkan Malaysia dan berdikari menjadi sebuah republik yang merdeka
Sejak itu, kita telah sama-sama membina sebuah tanah air. Bermula dengan golongan perintis yang memutuskan untuk mencipta sebuah Negara dan yakin kita akan berjaya; yang tabah dan yang memberikan yang terbaik untuk Singapura.
50 tahun kemudian, selepas berdepan dengan pelbagai rintangan, kita berjaya. Kita melahirkan sebuah masyarakat harmoni dengan setiap kaum mengekalkan budaya dan tradisi masing-masing tetapi pada masa yang sama, bergabung mencipta satu identiti Singapura. Kita menyemai semangat berdikari dan saling menyokong secara serentak supaya setiap kita dapat memberikan yang terbaik dan pada masa yang sama, membantu satu sama lain memastikan bahawa tiada yang ketinggalan di belakang. Antara pemerintah dan rakyat, kita saling mempercayai – dengan rakyat mempunyai jangkaan tinggi untuk pemerintah dan pemerintah pula memberikan khidmat yang terbaik untuk warga Singapura.
Bersama-sama, kita mengorak langkah daripada Negara Dunia ke Tiga kepada Dunia Pertama sebagai rakyat yang bersatu-padu. Itulah sebabnya kita meraikan SG50.
Dan itulah sebabnya saya sangat gembira melihat badan-badan Melayu/Islam tampil ke hadapan untuk menganjurkan Upacara Memperingati Hari Kebangsaan ini. Saya juga berbesar hati kerana mereka telah melibatkan badan-badan bantu diri dari kaum lain – CDAC, SINDA dan Persatuan Serani. Ini adalah satu cara yang amat bermakna untuk meraikan SG50. Ia mencerminkan kejayaan kita sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa di mana kaum-kaum minoriti yakin dengan kedudukan mereka dan bangga dengan Negara kita. Dengan semua kumpulan berdiri sama tinggi sebagai rakyat Singapura, menyambut SG50 bersama-sama. Dan semua rakyat berpeluang untuk hidup sepenuhnya, mencapai impian mereka. Dan apabila Singapura makmur, setiap rakyat berjaya dan kita sama-sama meraikannya.
Semoga keamanan dan keharmonian yang kita nikmati ini kekal berpanjangan dalam kita terus maju ke hadapan sebagai sebuah rakyat yang bersatu-padu. Majulah Singapura!
* * * * *
Explore recent content
Explore related topics