PM Lee Hsien Loong at dialogue with community and religious leaders on Singapore’s concerns with the conflicts in Syria and Iraq (In Malay)

SM Lee Hsien Loong | 29 November 2014

Opening remarks in Malay by Prime Minister Lee Hsien Loong at dialogue with community and religious leaders on Singapore’s concerns with the conflicts in Syria and Iraq, on 29 November 2014.

 

PM Lee also spoke in English.

* * * * *

Ladies and Gentlemen

Colleagues and Friends

Thank you for coming.  Let me first begin in Malay 

Saudara-saudari sekelian, pagi ini, kita bertemu kerana saya ingin membincangkan perkembangan terkini tentang ancaman pengganasan ekstremis dan kesannya kepada Singapura.

Pengganasan ekstremis adalah satu masalah jangka panjang yang sangat serius dan sukar. Ini lebih-lebih lagi bagi masyarakat berbilang bangsa kita. Ancaman ini boleh menggugat keharmonian yang kita nikmati sepanjang ini, dengan begitu mudah sekali.

Hari ini, pengganasan terus menjadi ancaman yang serius ekoran pergolakan yang berpanjangan di Syria dan Iraq. Sebab itu, kita mesti menanganinya secara serius dan tegas dan berterus terang antara satu sama lain - masyarakat Melayu/Islam bersama kaum-kaum lain.  

Inilah yang kerap kita lakukan sejak serangan 11 September dan apabila kita berdepan dengan ancaman Jemaah Islamiyah kemudian. Itu sudah 13 tahun lamanya. Ini penting kerana ancaman ini suatu yang berleluasa dan mengancam seluruh rantau kita.  

Saya amat menghargai respons rakyat Singapura, termasuk ramai di kalangan anda, mengenai ancaman pengganasan ini. Khususnya masyarakat Melayu/Islam yang dengan sebulat suara mengutuk keras golongan ekstremis. Para pemimpin Melayu terutama Mufti dan RRG telah banyak berusaha menangkis tarikan ideologi ISIS. Ini termasuk berdialog, menerbitkan risalah dan video yang mendedahkan fahaman serong ISIS yang sememangnya bertentangan dengan Islam. Saya juga menghargai sumbangan banyak pertubuhan kepada usaha bantuan kemanusiaan bagi para pelarian yang berjuta-juta banyaknya. Ini telah membantu mengekalkan semangat saling mempercayai antara kita semua.

Kali terakhir kita membincangkan isu pengganasan, di sesi dialog seperti ini, ialah pada tahun 2011. Pada masa itu, kita bimbang tentang ancaman JI yang semakin meruncing di rantau kita di negara jiran kita. Sememangnya, sejak itu, banyak perkembangan telah berlaku di Asia Tenggara.

Dan terbaru di Timur Tengah, ISIS telah menjadi satu ancaman besar yang turut menjejaskan rantau ini. ISIS  telah merekrut ribuan pejuang dari seluruh dunia, termasuk ratusan dari Asia Tenggara. Julai lalu, bekas pemimpin JI, Abu Bakar Bashir, yang juga pengasas Jemaah Ansharut Tauhid (JAT), telah mengambil bai’ah menyokong ISIS dari dalam penjara. Penyokongnya pula, sudahpun memberi dana dan berjuang untuk ISIS di Timur Tengah. Malaysia juga bimbang dan telah membentangkan Kertas Putih di Parlimen mengenai strategi untuk menangani ancaman dari rakyatnya yang pulang ke negara itu selepas menyertai ISIS. Dan di Singapura juga, ada rakyat kita yang telah menjadi radikal secara sendiri dan beberapa pula yang telah ke Syria dan ke Iraq.   

Jadi kita mesti lakukan apa yang diperlukan demi melindungi rakyat dan Negara kita. Sebab itu, kita telah mengambil keputusan untuk menyumbang kepada usaha antarabangsa bagi menangani ancaman ini pada sumbernya. Dan SAF akan menyertai perikatan berbilang negara menentang ISIS.

Apa yang saya kongsi sejauh ini, sudahpun dilaporkan di media. Berita Harian telah membawakan liputan yang baik mengenai perkembangan ISIS dan ancaman pengganasan ekstremis ini. Tetapi kerana perkara ini sangat genting dan amat membimbangkan saya. Jadi saya mahu membincangkannya dengan anda secara peribadi. Saya telah meminta agensi keselamatan kita, ISD dan SID untuk memberi taklimat kepada anda tentang perkara yang tidak diketahui umum. Saya harap begini, anda akan dapat gambaran yang lebih jelas dan menyeluruh, dan akan faham pemikiran serta pertimbangan pemerintah.

Usaha untuk membasmi pengganasan adalah satu perjuangan yang jangkanya panjang dan yang sukar. Tetapi jika kita terus bekerjasama dan bersikap terbuka dengan satu sama lain, pasti kita akan berjaya.

Jadi, saya alu-alukan pandangan dan keprihatinan anda semua dan saya harap pagi ini kita boleh berbincang secara jujur dari hati ke hati.

Terima kasih.             

* * * * *
 

TOP