2024 National Awards Investiture Citations (Malay)


THE ORDER OF NILA UTAMA (WITH HIGH DISTINCTION)
[Darjah Utama Nila Utama (Dengan Kepujian Tinggi)]


1. ENCIK PETER HO HAK EAN
Pengerusi, Penguasa Pembangunan Semula Bandar

PUJI-PUJIAN

Encik Peter Ho Hak Ean telah membuat banyak sumbangan besar kepada Singapura selama lebih dari 50 tahun menerusi khidmat cemerlang beliau.

Dianugerahkan Biasiswa SAF pada 1973, beliau merupakan antara pegawai yang ditugaskan sendiri oleh Perdana Menteri pengasas Lee Kuan Yew untuk menganggotai Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) yang baru ditubuhkan. Dalam perkhidmatan awam, beliau meninggalkan kesan yang berkekalan terutama sekali dalam bidang keselamatan nasional. Apa yang menarik, beliau berkhidmat berturut-turut selaku Setiausaha Tetap dalam kedua-dua Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Luar, dan kemudiannya selaku Setiausaha Tetap (Penyelarasan Keselamatan Nasional dan Perisikan). Dari 2005 hingga 2010, beliau juga merupakan Ketua Perkhidmatan Awam. Beliau mempamerkan pemikiran tajam dalam semua jawatan kepimpinan beliau dan sentiasa berpandangan jauh dalam pendekatan yang diambil. Antaranya, beliau membantu menerapkan usaha-usaha perancangan senario dan persiapan masa hadapan dalam perkhidmatan awam Singapura.

Setelah bersara pada 2010, beliau meneruskan sumbangan kepada Singapura. Selaku anggota Lembaga Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), beliau membantu membangunkan keupayaan dalam platform-platform penyelidikan dan perusahaan penting untuk menyokong kepentingan strategik dan ekonomi Singapura. Selaku Pengerusi Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), beliau memberikan bimbingan berharga bagi perancangan jangka panjang prasarana Singapura. Selaku Pengerusi pengasas Majlis Penyelidikan Sains Sosial, beliau memperkenalkan inisiatif-inisiatif penting untuk mengukuhkan penyelidikan dalam bidang sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan.

Sejak bersara, Encik Ho telah menjadi Penasihat Kanan Pusat Masa Depan Strategik; dan sejak 2021, Pengerusi Galeri Nasional Singapura.

Atas sumbangan beliau yang luar biasa dan pelbagai dalam banyak bidang di Singapura, Encik Peter Ho Hak Ean dianugerahkan Darjah Utama Nila Utama (dengan Kepujian Tinggi).


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


2. CIK JENNIE CHUA KHENG YENG
Pengerusi, Jawatankuasa Lembaga Pembangunan Kampus Kesihatan Woodlands
Pengerusi, Vanguard Healthcare

PUJI-PUJIAN

Cik Jennie Chua Kheng Yeng telah membuat sumbangan cemerlang kepada Singapura dalam banyak bidang seperti penjagaan kesihatan, kesenian, kerja amal, pendidikan dan hubungan antarabangsa.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Pembangunan Kampus Kesihatan Woodlands dari 2017 hingga 2024, beliau telah mengemudikan pembangunan kemudahan baharu itu, dan pada masa yang sama berjaya mengatasi halangan-halangan disebabkan pandemik COVID-19. Dibuka pada lewat 2023, kampus tersebut menawarkan khidmat kesihatan menyeluruh kepada para penduduk di kawasan utara Singapura. Selaku Pengerusi pengasas Vanguard Healthcare sejak 2017, beliau telah mengemudikan pertubuhan tersebut dalam menubuhkan lima buah rumah rawatan sepanjang tempoh tujuh tahun untuk memenuhi keperluan yang meningkat bagi khidmat penjagaan warga emas yang berada dalam kemampuan orang awam dan bermutu. Cik Chua juga pernah berkhidmat selaku Pengerusi Sistem Kesihatan Alexandra dan Anggota Lembaga Ministry of Health Holdings.

Cik Chua juga telah membuat sumbangan besar dalam bidang-bidang lain. Selaku Pengerusi pengasas Suruhanjaya Filem Singapura, beliau memainkan peranan penting dalam memajukan industri perfileman. Sebagai seorang tokoh yang sangat disegani dalam kalangan badan-badan amal, beliau telah berkhidmat selaku Pengerusi dan seterusnya Penasihat kepada Dana Masyarakat, serta Pengerusi Yayasan Antarabangsa Temasek. Sejak 2015, beliau telah berkhidmat selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi Nanyang. Beliau kini merupakan Duta Singapura ke Sepanyol.

Atas sumbangan cemerlang beliau kepada Singapura dalam banyak bidang, Cik Jennie Chua Kheng Yeng dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


3. ENCIK HSIEH FU HUA
Pengerusi, Sistem Kesihatan Universiti Nasional
Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah Universiti Nasional Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Hsieh Fu Hua telah membuat sumbangan besar dalam banyak sektor di Singapura.

Selaku Pengerusi Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) sejak 2019, beliau telah mengemudi kelompok penjagaan kesihatan awam untuk menyediakan perkhidmatan melebihi apa yang ditawarkan dalam lingkungan hospital. Melalui inovasi seperti pusat jagaan maya, teleperubatan dan khidmat penjagaan di rumah, NUHS berupaya menyediakan khidmat penjagaan pesakit yang lebih mudah didapatkan. Beliau juga telah melancarkan pelan induk pembangunan prasarana bagi mempertingkatkan kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta suasana sekitar yang dialami pesakit semasa mendapatkan rawatan, selain menjadi seseorang yang kuat memperjuangkan usaha daripada masyarakat dalam meningkatkan sokongan terhadap kesihatan mental di Singapura.

Selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Nasional Singapura sejak 2017, Encik Hsieh telah memainkan peranan penting dalam melakarkan matlamat strategik universiti tersebut. Di bawah kepimpinan beliau, universiti tersebut telah melaksanakan banyak inisiatif untuk mempersiapkan para penuntutnya dengan lebih baik bagi masa hadapan mereka, memperhebat kesan yang terhasil daripada penyelidikannya dan mengukuhkan kerjasamanya dengan industri.

Encik Hsieh merupakan Pengerusi Galeri Nasional Singapura dari 2013 hingga 2021 dan masih berkhidmat selaku Penasihat Kehormat di situ. Beliau juga menyandang jawatan Presiden Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan dari 2012 hingga 2018, dan telah menerajui usaha-usaha untuk meningkatkan keupayaan serta sokongan terhadap sikap kedermawanan dalam perkhidmatan sosial.

Atas sumbangan cemerlang beliau kepada Singapura, Encik Hsieh Fu Hua dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


4. ENCIK PETER ONG BOON KWEE
Mantan Pengerusi, Enterprise Singapore
Mantan Ketua Perkhidmatan Awam

PUJI-PUJIAN

Encik Peter Ong Boon Kwee telah berkhidmat dengan cemerlang selama hampir empat dekad dalam Perkhidmatan Awam Singapura. Beliau telah membuat sumbangan penting dalam pelbagai jawatan kepimpinan kanan. Beliau pernah berkhidmat selaku Setiausaha Tetap di beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pengangkutan, Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri (PMO). Selaku Ketua Perkhidmatan Awam dari 2010 hingga 2017, beliau mengemudikan perubahan dalam sektor awam agar ianya lebih tertumpu kepada warga dan pendigitalan, serta menubuhkan Kumpulan Strategi di PMO bagi menangani isu-isu rumit dengan lebih baik.

Setelah beliau bersara, Encik Ong berkhidmat selaku Pengerusi pengasas Enterprise Singapore dari 2018 hingga 2024. Beliau membentuk agensi baru tersebut menjadi penyokong kuat perusahaan-perusahaan Singapura dan menerajui program-program utama agensi itu, termasuk program Mulakan Digital (Start Digital), SG Maju (Scale-Up) dan Perusahaan Global Singapura. Beliau juga telah memperkukuh hubungan ekonomi dua hala Singapura dan membangunkan keupayaan-keupayaan baharu untuk berkembang seperti dalam ekonomi hijau.

Encik Ong juga telah berkhidmat selaku Pengerusi Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dan anggota lembaga pelbagai agensi pemerintah lain, termasuk Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Atas sumbangan luar biasa beliau kepada Perkhidmatan Awam Singapura, Encik Peter Ong Boon Kwee dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


5. SYED HASSAN BIN SYED MOHAMMAD BIN SALIM AL-ATTAS
Anggota, Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti

PUJI-PUJIAN

Selama lebih empat dekad, Syed Hassan bin Syed Mohammad bin Salim Al-Attas, atau lebih dikenali sebagai Habib Hassan, telah menabur bakti terhadap mengukuhkan keharmonian antara agama dan perpaduan sosial di Singapura.

Selaku salah seorang Imam dan ketua paling lama berkhidmat di Masjid Ba’alwie, beliau telah menerajui pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap keharmonian berbilang budaya Singapura dan mengukuhkan perpaduan masyarakat. Beliau sendiri telah mengendalikan perjalanan pembelajaran untuk para pelawat tempatan dan antarabangsa melihat muzium antara agama masjid tersebut.

Selaku anggota Majlis Pertubuhan Antara Agama (IRO), Habib Hassan telah memperkukuh hubungan dengan para pemimpin agama dan membina asas yang kuat bagi keharmonian agama. Beliau telah berkhidmat dalam jawatankuasa pemandu Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC), yang kini dikenali sebagai Kumpulan Harmoni. Beliau juga merupakan Pemegang Amanah Yayasan Rahmatan Lil Alamin dan Pusat Harmoni, kedua-keduanya pertubuhan penting di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Kecemerlangan Habib Hassan dalam kerja-kerja antara agama diiktiraf dalam “The Muslim 500”, sebuah penerbitan yang memaparkan tokoh-tokoh Islam dari seluruh dunia. Disebabkan kepakaran dan pengalaman beliau, Habib Hassan telah dilantik ke dalam Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti pada 2021.

Atas sumbangan cemerlang beliau dalam mengukuhkan keharmonian antara agama dan perpaduan sosial di Singapura, Habib Hassan dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


6. ENCIK PHILLIP TAN ENG SEONG
Pengerusi, Lembaga Reben Kuning Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Phillip Tan Eng Seong telah membuat sumbangan besar dalam membangunkan khidmat pemulihan dan integrasi semula serta terhadap sektor perkhidmatan sosial secara amnya di Singapura.

Selama lebih dua dekad, beliau telah memperbaik landskap pembetulan dan penjagaan susul Singapura. Selaku Pengerusi Reben Kuning Singapura (YRSG), beliau memberikan bimbingan berharga berkaitan dasar dan strategi untuk menyokong pemulihan dan integrasi semula para bekas pesalah ke dalam masyarakat. Beliau membuat perubahan dalam usaha peningkatan kemahiran bagi para banduan dan memperbaik peluang mereka mendapat kerja setelah dibebaskan. Encik Tan berkhidmat selaku Pengerusi Lembaga Jaksa Pendamai dan Lembaga Pemeriksaan bagi penjara Singapura dari 2017 hingga 2020, dan juga merupakan Pengerusi Dana Reben Kuning dari 2006 hingga 2014.

Selaku Pengerusi Dana Masyarakat dari 2013 hingga 2022, beliau telah menyeru pertubuhan-pertubuhan dan para individu untuk menyalurkan sumbangan terhadap usaha-usaha kemasyarakatan secara bermakna dan mampan serta memupuk generasi penderma yang seterusnya. Selaku Anggota Lembaga Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), beliau telah membimbing pembangunan sektor perkhidmatan sosial kita bagi memenuhi keperluan berubah-ubah rakyat Singapura yang memerlukan.

Atas sumbangan besar beliau kepada perkhidmatan sosial dan usaha pemulihan di Singapura, Encik Phillip Tan Eng Seong dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


7. ENCIK TEO MING KIAN
Pengerusi, Singapore Technologies Engineering Ltd
Mantan Pengarah, Temasek Holdings (Private) Limited

PUJI-PUJIAN

Encik Teo Ming Kian telah membuat sumbangan besar dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan di Singapura.

Selaku anggota Lembaga Pengarah di Temasek Holdings dari 2006 hingga 2022, beliau telah menyumbang terhadap pertumbuhan portfolio Temasek dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Antara 2012 hingga 2022, beliau berkhidmat selaku Pengerusi Makmal Sains Hayat Temasek. Semasa menyandang jawatan ini, beliau berjaya menarik perhatian para penyelidik dan menyediakan peluang untuk mereka mencapai penemuan-penemuan besar bidang sains hayat selain mampu menjana penggunaan dengan nilai ekonomi, terutamanya dalam kemampanan persekitaran, pertanian dan teknologi akua, serta kesejahteraan manusia. Selaku Pengerusi Vertex Venture Holdings sejak 2012, Encik Teo telah membimbing syarikat tersebut untuk menyediakan dana modal usaha dan bantuan operasi bagi merangsang syarikat-syarikat pemula teknologi.

Selaku Pengerusi Singapore Technologies Engineering Ltd, Encik Teo tetap memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan teknologi pertahanan Singapura, sekaligus mengukuhkan pertahanan dan keselamatan negara. Encik Teo sebelum ini pernah berkhidmat selaku Pengerusi Mediacorp dan Anggota Lembaga PSA Corporation.

Atas sumbangan besar beliau dalam memanfaatkan bidang sains, teknologi dan kejuruteraan demi kebaikan Singapura, Encik Teo Ming Kian dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


8. ENCIK EDWARD D’SILVA
Mantan Pengerusi, Majlis Kebersihan Awam

PUJI-PUJIAN

Encik Edward D’Silva dikenali ramai sebagai seorang yang memperjuangkan kebersihan awam. Selaku Pengerusi Majlis Kebersihan Awam dari 2015 hingga 2023, beliau menerajui program-program Majlis tersebut dengan melibatkan orang awam dan menggalakkan amalan kebersihan yang baik.

Encik D’Silva juga telah membuat sumbangan besar dalam bidang-bidang lain. Beliau telah berkhidmat dalam Majlis Penasihat Presiden bagi Keharmonian Agama serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Beliau juga telah berkhidmat selaku Jaksa Pendamai, Ahli Majlis Daerah dengan Majlis Pembangunan Masyarakat Tengah Singapura, Pemegang Amanah Persatuan Serani dan anggota lembaga Perkhidmatan Masyarakat Anglican.

Atas sumbangan beliau yang banyak kepada Singapura, Encik Edward D’Silva dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


9. ENCIK LEE CHUAN SENG
Pengerusi, Agensi Sekitaran Kebangsaan

PUJI-PUJIAN

Encik Lee Chuan Seng telah membuat sumbangan besar dalam bidang kemampanan alam sekitar, persekitaran binaan, sains dan teknologi, serta kejuruteraan di Singapura. Selaku Pengerusi Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sejak 2019, kepimpinan berwawasan beliau telah memainkan peranan penting dalam usaha kemampanan, menggalakkan sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan mendorong ekonomi kitaran.

Dalam peranan beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Saintifik Pemerintah, Encik Lee memberikan nasihat berharga mengenai isu-isu saintifik dan teknologi yang strategik, dan membentuk agenda-agenda penyelidikan dan pengembangan negara. Selaku Timbalan Pengerusi Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), beliau mempamerkan kepimpinan dan inovasi dalam memajukan piawaian bangunan hijau di Singapura, dan memperjuangkan pendigitalan dalam industri pembinaan.

Atas sumbangan besar beliau dalam pelbagai bidang, Encik Lee Chuan Seng dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


10. ENCIK RICHARD LIM CHERNG YIH
Pengerusi, Synapxe Pte Ltd
Pengerusi, Penguasa Pasaran Tenaga

PUJI-PUJIAN

Encik Richard Lim Cherng Yih telah membuat sumbangan besar dalam sektor penjagaan kesihatan, tenaga dan pengangkutan. Selaku Pengerusi Synapxe sejak 2019, beliau telah memperbaik sistem-sistem teknologi maklumat dalam penjagaan kesihatan awam dari segi kecekapan, kebingkasan dan keandalannya. Sistem-sistem penting ini telah memastikan khidmat penjagaan kesihatan dapat disediakan dengan berkesan, selamat dan tertumpu kepada pesakit. Beliau juga telah menerajui usaha-usaha perubahan Synapxe dan meningkatkan keupayaan profesional dan inovasinya.

Selaku Pengerusi Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) sejak 2020, Encik Lim telah memberikan bimbingan strategik bagi memastikan keterjaminan tenaga Singapura dan juga dalam usaha perubahannya untuk mencapai sasaran nasional pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Selaku Timbalan Pengerusi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sejak 2016, beliau telah membantu mengukuhkan pengurusan aset dan tadbir urus, serta strategi dan rancangan jangka panjang pengangkutan awam.

Atas sumbangan besar beliau dalam sektor penjagaan kesihatan, tenaga dan pengangkutan, Encik Richard Lim Cherng Yih dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


11. ENCIK NIAM CHIANG MENG
Pengerusi, Taman di Persisiran

PUJI-PUJIAN

Sepanjang 33 tahun berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam, Encik Niam Chiang Meng telah membuat sumbangan besar ketika menyandang pelbagai jawatan kepimpinan kanan, termasuk sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian (MICA) terdahulu, Kementerian Undang-undang (MINLAW), Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) terdahulu, Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dan Sekretariat Perubahan Iklim Nasional (NCCS).

Setelah bersara daripada Perkhidmatan Awam, Encik Niam berkhidmat selaku Pengerusi di banyak pertubuhan. Di Taman di Persisiran, beliau mengemudikan pertubuhan tersebut untuk menjadi salah satu destinasi hortikultur terbaik di dunia. Di Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), beliau membantu mengembangkan hab maritim antarabangsa Singapura, dengan bertambahnya bilangan syarikat perkapalan dan perbelanjaan perniagaan dalam sektor tersebut. Di Mediacorp, beliau membimbing usaha-usaha transformasi dalam pendigitalan, inovasi dan penglibatan penonton berbilang platform. Di Singapore Turf Club (STC) pula, beliau bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memastikan penutupan STC dijalankan dengan sempurna.

Atas sumbangan besar beliau kepada Singapura dalam banyak bidang, Encik Niam Chiang Meng dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


12. ENCIK PANG KIN KEONG
Setiausaha Tetap (Ehwal Dalam Negeri)

PUJI-PUJIAN

Selaku Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Encik Pang Kin Keong telah membuat sumbangan besar dalam menjadikan Singapura salah sebuah negara yang paling selamat di dunia. Beliau telah melaksanakan dasar-dasar dan undang-undang kukuh dan ketat, serta memimpin tindakan yang diambil Kementerian tersebut dalam banyak operasi penting dan sensitif, termasuk ketika beberapa kali berlakunya krisis. Beliau juga telah mengemudikan perubahan pasukan Home Team dan berjaya meraih kepercayaan tinggi orang awam serta menghasilkan peningkatan ketara buat orang awam dan kakitangan.

Ketika menyandang jawatan selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini, beliau menerajui beberapa inisiatif penting termasuk perancangan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan Pelabuhan Tuas, serta meningkatkan keandalan rangkaian rel kita. Encik Pang juga telah membuat sumbangan besar dalam jawatan kepimpinan lain sebelum ini selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Undang-undang (MinLaw) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Atas sumbangan beliau yang pelbagai dan besar kepada Singapura, Encik Pang Kin Keong dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


13. PROF TAN ENG CHYE
Presiden, Universiti Nasional Singapura

PUJI-PUJIAN

Selaku Presiden Universiti Nasional Singapura sejak 2018, Prof Tan Eng Chye telah memimpin universiti tersebut menjadi salah sebuah pusat pembelajaran terulung di dunia. Di bawah kepimpinannya, universiti tersebut telah merintis inovasi dalam bidang pendidikan, memperhebat kesan yang terhasil daripada penyelidikannya dan mengembangkan ekosistem inovasi dan daya usahanya.

Sumbangan Prof Tan bukan sahaja terhad kepada NUS tetapi juga merangkumi bidang-bidang lain seperti penjagaan kesihatan, pendidikan serta penyelidikan dan pengembangan. Beliau berkongsi pengalaman beliau di dalam lembaga pengarah Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Sekolah Tinggi Matematik dan Sains NUS. Sebelumnya, beliau turut membuat sumbangan besar di dalam lembaga Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Majlis Penasihat bagi Hubungan Masyarakat dalam Pertahanan serta Majlis Ekonomi Masa Hadapan.

Atas sumbangan besar beliau kepada Singapura, Prof Tan Eng Chye dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


14. ENCIK WONG SIEW HOONG
Penasihat dan Mantan Pengarah Agung Pendidikan

PUJI-PUJIAN

Encik Wong Siew Hoong telah membuat sumbangan besar dalam bidang pendidikan. Selaku Pengarah Agung Pendidikan dari 2015 hingga 2022, beliau telah membentuk hala tuju sistem pendidikan kita dan mengemudi perubahan dasar pendidikan yang penting. Ini termasuk perubahan terhadap sistem penskoran Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan memperkenalkan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (Full SBB) di sekolah menengah. Beliau memastikan para pelajar bersiap sedia untuk masa hadapan dengan melakarkan pelan induk teknologi maklumat dan komunikasi, mempertingkatkan pendidikan perwatakan dan kewarganegaraan, serta memperbaik pengajaran kecekapan-kecekapan untuk abad ke-21.

Sebaik bersara daripada kerjaya 38 tahun dalam Perkhidmatan Pendidikan, Encik Wong berkhidmat selaku Penasihat kepada Kementerian Pendidikan (MOE), Pengerusi Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB), dan Timbalan Pengerusi Majlis Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Atas sumbangan beliau yang banyak kepada sistem pendidikan Singapura, Encik Wong Siew Hoong dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE PUBLIC SERVICE STAR (BAR)
[Bintang Bakti Masyarakat (Lintang)]



THE PUBLIC SERVICE STAR
[Bintang Bakti Masyarakat]


PUJI-PUJIAN

Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) dan Bintang Bakti Masyarakat dianugerahkan kepada mereka yang telah menyumbang bagi manfaat warga senegara mereka. Mereka telah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kesejahteraan masyarakat mereka, dan khidmat awam mereka telah membantu menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang lebih baik.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Lintang)]


15. ENCIK K V VANU GOPALA MENON
Pesuruhjaya Tinggi,
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi di Kuala Lumpur
Kementerian Ehwal Luar

PUJI-PUJIAN

Encik Vanu Gopala Menon telah membuat sumbangan yang besar dalam mempertahankan dan memajukan kepentingan Singapura dalam diplomasi luar negara dan hal ehwal antarabangsa. Selaku Pesuruhjaya Tinggi ke Malaysia sejak 2014, beliau telah membantu Singapura memahami dan mengemudi landskap politik negara tersebut yang berubah-ubah, memastikan hubungan dua hala yang baik dan memupuk hubungan positif dengan pemimpin Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan utama. Dalam kalangan rakan sekerja dan rakan sejawatan dari luar negara, Encik Menon sangat dihormati sebagai diplomat yang berpengalaman yang memimpin melalui teladan.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Lintang)]


16. PROF IVY NG SWEE LIAN
Penasihat Kanan, Lembaga SingHealth
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kesihatan Singapura
Kementerian Kesihatan

PUJI-PUJIAN

Prof Ivy Ng Swee Lian telah membuat sumbangan yang besar kepada sistem penjagaan kesihatan awam Singapura. Selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SingHealth dari 2012 hingga 2024, beliau telah mengubah kelompok penjagaan kesihatan itu dengan menyatukan perkhidmatannya supaya berjalan dengan lancar, dan meluaskan kapasiti hospital-hospital, pusat-pusat pakar, cawangan-cawangan penjagaan asas, dan sistem kesihatan daerah dengan ketara. Pada peringkat nasional, Prof Ng telah membantu membentuk hala tuju dasar dan program-program penjagaan kesihatan awam, amalan profesional dan perubatan akademik.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


17. ENCIK CHIA WEE KIAT
Timbalan Hakim Pengerusi,
Mahkamah Keadilan Keluarga,
Badan Kehakiman

PUJI-PUJIAN

Encik Chia Wee Kiat telah berkhidmat dengan cemerlang selaku Timbalan Hakim Pengerusi dan Ketua Mentor di Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC), setelah memainkan peranan penting dalam penubuhan FJC. Beliau juga telah terlibat secara mendalam dalam pembaharuan dan inisiatif-inisiatif penting yang telah mempermudah cara mendapatkan khidmat keadilan keluarga serta memperbaik mutu dan pelaksanaannya di Singapura. Encik Chua juga telah berkhidmat selaku Pesuruhjaya Rayuan dan Pengerusi Lembaga Semakan Penilaian.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


18. CIK LIEW WEI LI
Pengarah Agung Pendidikan,
Kementerian Pendidikan

PUJI-PUJIAN

Cik Liew Wei Li telah membuat sumbangan yang bermakna dalam mengukuhkan sistem pendidikan kita. Selaku Pengarah Agung Pendidikan, beliau telah mempamerkan kepimpinan yang cemerlang dan profesional bagi perkhidmatan pendidikan di Singapura. Beliau juga telah memulakan dan memimpin pelaksanaan usaha-usaha inovasi, peningkatan dan pembangunan keupayaan dalam sistem pendidikan kita. Semua ini bertujuan untuk mengupayakan dan menyokong para pelajar kita dengan lebih baik demi mencapai potensi mereka sepenuhnya, memupuk nilai-nilai murni dan mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi masa hadapan.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


19. PROF LING SAN
Timbalan Presiden dan Provos,
Pejabat Presiden
Universiti Teknologi Nanyang,
Kementerian Pendidikan

PUJI-PUJIAN

Selaku Provos Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Prof Ling San telah memainkan peranan penting dalam melakarkan konsep hala tuju pendidikan NTU 2025 dan mengemudi usaha-usaha NTU untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran holistik. Beliau memberikan bimbingan strategik kepada Yayasan Penyelidikan Nasional selaku Ketua Penasihat Saintifik dan menyokong kerjasama antarabangsa dan antara sektor yayasan tersebut. Prof Ling juga berkhidmat selaku anggota Lembaga Pentadbiran Sekolah Perubatan Lee Kong Chian dan Jawatankuasa Penasihat Saintifik Pemerintah.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


20. ENCIK OW FOOK CHUEN
Akauntan Negara, Pejabat Akauntan Negara
Kementerian Kewangan

PUJI-PUJIAN

Selaku Akauntan Negara, Encik Ow Fook Chuen telah membuat sumbangan yang bermakna dalam menyokong Presiden melindungi rizab terkumpul negara, menyiapkan penyata kewangan Pemerintah dan memastikan kewibawaan sistem kewangan dan perakaunan Pemerintah. Selaku Ketua Kewangan Pemerintah, beliau menerajui langkah berani ke arah pemusatan dan penyelarasan dasar, proses dan sistem kewangan bagi meningkatkan ketekalan dan kecekapan. Encik Ow juga telah meningkatkan tahap kepakaran, ketangkasan dan semangat kekitaan karyawan kewangan dan audit dalaman sektor awam.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


21. PROF LEE CHIEN EARN
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Sistem Kesihatan Daerah)
Perkhidmatan Kesihatan Singapura,
Kementerian Kesihatan

PUJI-PUJIAN

Prof Lee Chien Earn telah membuat sumbangan yang bermakna kepada sistem penjagaan kesihatan awam Singapura. Beliau telah memainkan peranan penting dalam membayangkan dan membangunkan sistem kesihatan daerah SingHealth dan usaha-usaha penjagaan kesihatan penduduk bagi menyepadukan penjagaan sosial dan kesihatan dengan lebih baik. Beliau juga menerajui usaha perancangan Hospital Besar dan Hospital Masyarakat Timur. Selaku mantan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Besar Changi, Prof Lee telah mengubah perkhidmatan penjagaan klinikal dan masyarakat hospital tersebut, bagi menawarkan khidmat penjagaan dan pengalaman pesakit yang lebih baik.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


22. ENCIK TAN HUNG HOOI
Ketua Pengarah Kastam
Pasukan Polis Singapura
(dipinjamkan kepada Kementerian Kewangan)

PUJI-PUJIAN

Encik Tan Hung Hooi telah cemerlang semasa menyandang jawatan-jawatan kepimpinan sepanjang 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Kepimpinan beliau yang berwawasan telah meninggalkan kesan mendalam ke atas pertubuhan-pertubuhan yang beliau pimpin. Selaku mantan Timbalan Pesuruhjaya Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan, dan seterusnya Pasukan Polis Singapura, beliau telah meningkatkan keupayaan barisan hadapan, kecekapan operasi dan keberkesanan organisasi pertubuhan-pertubuhan berkenaan. Selaku Ketua Pengarah Kastam, beliau menerajui transformasi bagi mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab perdagangan sejagat.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


23. ENCIK ERIC YAP WEE TECK
Pesuruhjaya
Pasukan Pertahanan Awam Singapura,
Kementerian Ehwal Dalam Negeri

PUJI-PUJIAN

Encik Eric Yap Wee Teck telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang 33 tahun dalam Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Selaku Pesuruhjaya, beliau telah memimpin SCDF dalam membangunkan keupayaan melawan kebakaran marin dan khidmat perubatan kecemasan, serta mempertingkatkan latihan bagi para pegawainya. SCDF turut menjalani transformasi yang dipacu teknologi. Ini dilakukan dengan penggunaan robot dan pendigitalan bagi meningkatkan keberkesanan dan tahap keselamatan operasi. Inisiatif-inisiatif ini telah mengukuhkan pencapaian SCDF dalam memenuhi misinya untuk menyelamatkan nyawa.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


24. ENCIK FELIX LOH CHEE WAI
Ketua Pegawai Eksekutif, Taman di Persisiran
Kementerian Pembangunan Negara

PUJI-PUJIAN

Di bawah kepimpinan Encik Felix Loh Chee Wai, Taman di Persisiran kini diiktiraf sebagai sebuah pusat hortikultur dan daya tarikan pelancong bertaraf dunia. Taman di Persisiran juga dekat di hati masyarakat tempatan dan lebih mesra dikenali sebagai Taman Rakyat (People’s Garden). Ini terbit daripada penganjuran pelbagai program dan pesta awam, program mendekati masyarakat dan usaha-usaha kesukarelawanan. Tarikan ikonik seperti ‘Supertrees’ dan ‘Conservatories’ yang menggunakan kuasa yang dijana teknologi hijau menggalakkan amalan-amalan mampan.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


25. ENCIK NGIAM SHIH CHUN
Timbalan Setiausaha (Dasar), Kementerian Ehwal Dalam Negeri
Mantan Ketua Eksekutif, Penguasa Pasaran Tenaga

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga, Encik Ngiam Shih Chun menerajui transformasi landskap tenaga Singapura dan meletakkan asas bagi penyahkarbonan sektor tenaga. Sebagai respons kepada krisis tenaga global pada 2021 hingga 2022, beliau telah mempelopori pembangunan dasar-dasar dan peralatan baharu untuk melindungi daya tahan dan keselamatan sumber tenaga Singapura. Encik Ngiam juga telah membuat banyak sumbangan yang bermakna semasa menyandang jawatan-jawatan kepimpinan dalam perkhidmatan awam sebelum ini.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


26. PUAN TEOH ZSIN WOON
Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia
Mantan Setiausaha Tetap (Pembangunan), Divisyen Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pembangunan Negara

PUJI-PUJIAN

Selaku Setiausaha Tetap (Pembangunan) Divisyen Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pembangunan Negara (MND), Puan Teoh Zsin Woon telah memainkan peranan penting dalam mengubah cara rakyat mendapatkan perkhidmatan awam dan perbandaran supaya lebih bersepadu dan lebih tertumpu kepada rakyat. Beliau memulakan banyak usaha transformasi dalam perkhidmatan awam secara menyeluruh bagi meningkatkan dasar-dasar sumber manusia, membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran dan tempat kerja yang lebih prihatin. Di MND, beliau memperjuangkan jenis perumahan dan inisiatif-inisiatif baharu untuk membantu warga emas kekal menua dalam sekitaran yang sama. Di MCCY, beliau memimpin usaha bagi pelibatan warga yang lebih mendalam, dan memupuk perpaduan sosial melalui seni dan sukan.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


27. ENCIK CHIA DER JIUN
Pengarah Urusan
Penguasa Kewangan Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Chia Der Jiun telah membuat sumbangan yang bermakna sepanjang 31 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Selaku Setiausaha Tetap (Pembangunan) di Kementerian Tenaga Manusia, beliau telah mengukuhkan piawaian penjagaan perubatan dan dormitori untuk pekerja hijrahan, mempertingkatkan keberkesanan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta menyelia usaha pelaksanaan keadilan di tempat kerja. Selaku Pengarah Urusan MAS, beliau telah mengemudi ekonomi negara melalui pertumbuhan tanpa inflasi, membangunkan keupayaan sektor kewangan dan menyelia sistem kewangan yang kukuh.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]


28. MG LEE YI-JIN, PPA(G)
Ketua Digital dan Perisikan/
Pengarah Perisikan Tentera
Perkhidmatan Digital dan Perisikan

PUJI-PUJIAN

Mejar Jeneral (MG) Lee Yi-Jin telah cemerlang semasa menyandang beberapa jawatan kepimpinan sepanjang kerjaya tenteranya. Selaku Ketua Pengasas Perkhidmatan Digital dan Perisikan, MG Lee telah mengetuai penubuhan Perkhidmatan baharu SAF, dan membentuk pasukan kepimpinannya, struktur organisasi, sistem operasi serta proses dan rancangan pembangunan keupayaan. Selaku Ketua Kumpulan, Dasar dan Strategi di Kementerian Pertahanan, MG Lee telah menyelia diplomasi dan strategi pertahanan bagi memajukan kerjasama dan norma-norma keselamatan serantau.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Pegawai-pegawai daripada peringkat pengurusan pertengahan, yang tidak selalu dilihat oleh orang awam, memainkan peranan penting daripada pembentukan dasar hingga pelaksanaan dasar tersebut. Usaha bersungguh-sungguh dan dedikasi yang mereka berikan telah mendorong kakitangan mereka untuk mencapai matlamat organisasi dan memberikan perkhidmatan awam dengan piawai tertinggi. Pingat Pentadbiran Awam (Perak) dianugerahkan kepada mereka yang telah melaksanakan tugas-tugas seperti ini dengan cemerlang.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Kejayaan sebenar untuk sebarang dasar pemerintah bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan bagi dasar tersebut. Pegawai-pegawai yang menjalankan tugas perlu cekap, berani dan mempunyai kemahiran untuk melaksanakan dasar-dasar ini. Mereka perlu ada fleksibiliti dan pemahaman dalam pelaksanaan dasar-dasar, tanpa menjejaskan piawai perkhidmatan yang tinggi. Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) dianugerahkan kepada pegawai-pegawai seperti ini sebagai penghargaan bagi khidmat mereka.

TOP