Transcript of Prime Minister Lee Hsien Loong's Malay Speech at the Pioneer Generation Tribute on 9 Feb 2014
Saudara dan saudari sekalian, Gong Xi Fa Cai! Selamat Tahun Baru Cina!
Singapura telah melangkah jauh sepanjang 50 tahun lalu. Ini adalah hasil sumbangan lebih dari satu generasi. Tetapi kita amat terhutang budi kepada generasi warga Singapura yang memulakan perjalanan ini, iaitu Generasi Perintis kita, iaitu anda.
Khusus bagi masyarakat Melayu, perpisahan bermakna anda terpaksa memilih – sama ada ke seberang tambak menyertai Malaysia dan terus menjadi kaum majoriti, atau kekal di Singapura dan menjadi sebuah kaum minoriti dalam sekelip mata dalam sebuah negara baru. Tetapi ternyata ramai di kalangan anda yang memilih untuk kekal di Singapura selepas Merdeka, untuk bersama-sama mengorak kehidupan baru. Pilihan anda ini telah membantu Singapura mekar menjadi sebuah masyarakat berbilang bangsa dan agama yang bersatu padu dan yang harmoni. Kami benar-benar menghargai keyakinan yang anda tunjukkan, serta sumbangan unik anda.
Di Singapura, bersama-sama para pemimpin dan kaum-kaum lain, anda bekerja bertungkus-lumus untuk membina negara kita. Anda telah memperkukuh pasukan pertahanan kita, mengembangkan ekonomi kita, dan membentuk sebuah negara yang moden dengan peluang-peluang dan taraf hidup yang tinggi buat semua rakyat Singapura. Anda mewariskan kepada anak-anak anda, nilai-nilai, semangat dan pegangan yang akan memastikan Singapura akan maju ke hadapan biarpun dicabar pelbagai rintangan di abad ke-21.
Bagi pihak semua rakyat Singapura, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada anda dan generasi anda di atas segala bakti dan sumbangan yang telah anda curahkan untuk negara. Terima kasih kepada anda.
Majlis ini adalah tanda kecil penghargaan kami buat anda. Ramai lagi Generasi Perintis di luar sana yang juga telah membuat sumbangan besar kepada negara. Jasa mereka akan sama-sama kita kenang, raikan dan hargai sempena sambutan ulangtahun Singapura yang ke 50, tahun depan.
Explore recent content
Explore related topics