Prime Minister Lee Hsien Loong's remarks to media in Malay after closed-door dialogue with Malay/Muslim Community, 25 January 2014

25 January 2014
 

Sesi dialog tadi berjalan lancar. Saya gembira kerana para peserta berkongsi pandangan mereka dangan jujur dan secara terus terang, objektif dan matang.  Kami berbincang dari hati ke hati.

Saya akur isu tudung ini suatu isu penting dan sensitif bagi masyarakat Islam Singapura. Tapi sebenarnya isu pokok bukan tentang tudung tetapi lebih luas lagi, iaitu apakah bentuk masyarakat yang kita inginkan di Singapura.

Pendirian Pemerintah atas soalan pokok ini terang dan kita telah mengambil pendirian ini sejak merdeka, 50 tahun lalu iaitu kita mahu bina di Singapura sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama yang memberi peluang saksama kepada semua kaum dan semua agama di Singapura. Kita juga harap kaum-kaum minoriti akan dapat ruang yang cukup untuk menjalankan kewajipan mereka, untuk hidup dengan cara kehidupan mereka, untuk mengambil bahagian dalam kejayaan dan progress (kemajuan) negara Singapura.

Seberapa boleh Pemerintah akan menolong dan memberi sokongan kepada kaum-kaum minoriti yang lebih, kerana kita harap mereka akan maju kehadapan dengan kaum-kaum lain dan termasuk kaum Melayu/Islam.

Tapi untuk capai matlamat besar kita ini, kita harus bersikap tolak ansur supaya semua kaum selesa dengan satu sama lain. Kita tidak boleh berbincang tiap-tiap satu isu, setiap isu sahaja kerana kalau kita bincang begitu dan berbincang berkenaan hak dan kewajipan dan bagaimana kita mesti dapat sesuatu isu, boleh jadi segala-gala objektif kita yang lebih penting akan dihapuskan. Dan itu, saya fikir sangat buruk untuk Singapura. 

Jadi, kejayaan Singapura tidak diukur berdasarkan satu-satu perkara sahaja bahkan dalam konteks yang lebih besar – sama ada kaum-kaum yang berbeza, hidup secara harmoni, sama ada semua rakyat berpeluang untuk maju dan hidup dengan aman dan selamat. Inilah perspektif yang lebih luas yang saya telah ambil dalam perbincangan tadi dan saya percaya peserta-peserta faham dan terima pandangan saya.

Jika kita lihat selama 10 tahun lalu, jelas dalam isu tudung, telah ada kemajuan. Banyak stat board, badan-badan yang berkanun telah membenarkan kakitangan mereka memakai tudung bersama pakaian uniform mereka.

Keadaan yang kita lihat hari ini,saya tidak fikir akan selalu, tetap pada tempat ini kerana masyarakat kita sedang berubah, dunia sedang berubah, negara sedang maju kehadapan. Saya fikir tiap-tiap tahun, dengan secara beransur-ansur dan perlahan-lahan apa yang kita buat di Singapura dalam masyarakat kita akan juga berubah.   

Tetapi perubahan ini mesti berjalan dengan teliti, dengan berhati-hati, mesti berjalan, tidak terlalu cepat ataudestabilise, menghapuskan apa kita dapat kejayaan di Singapura iaitu satu masyarakat di mana semua kaum dapat hidup, dapat berharmoni, dan dapat menjadi seorang Islam yang menunaikan kewajipan Islam dan pada masa yang masa, seorang warga Singapura yang menunaikan kewajipan warga Singapura. 

Jadi pemerintah inginkan yang terbaik bagi masyarakat Singapura dan untuk masyarakat Melayu/Islam. Dalam isu ini, ada pandangan-pandangan yang lain tetapi hasrat kita tidak berbeza. Kita harap yang terbaik untuk kaum Melayu/Islam dan kita harap kita boleh bekerjasama dengan kaum Melayu/ Islam untuk mewujudkan hasrat kita.

Tadi dalam dialog, ada yang kata kita patut bertanding dengan satu sama lain supaya dapat jelaskan isu-isu ini. Saya kata tidak, kita patut menari dengan satu sama lain supaya kita boleh bekerjasama dan kita boleh capai apa yang kita sama-sama harapkan.

Terimakasih


TOP