May Day Message 2021 (Malay)

SM Lee Hsien Loong | 30 April 2021

Prime Minister Lee Hsien Loong's May Day Message 2021 in Malay.

 

Amanat Hari Buruh 2021

Tahun ini, NTUC meraikan ulang tahunnya yang ke-60. Kisah pengasasan NTUC sangat berkait rapat dengan kisah Singapura. Pada tahun 1950-an, kesatuan-kesatuan sekerja berganding bahu dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas matlamat yang sama untuk mendesak pemerintah kolonial agar memberikan layanan yang lebih baik kepada para pekerja, dan berjuang untuk menentukan nasib sendiri serta mengecapi kemerdekaan. Pada tahun 1961, apabila golongan komunis keluar daripada PAP untuk membentuk Barisan Sosialis, gerakan kesatuan sekerja juga berpecah. NTUC ditubuhkan, dan tetap bersama-sama PAP dalam menentang kumpulan-kumpulan pro-komunis.

Keadaan semasa tahun-tahun awal tersebut penuh dengan huru-hara. Menentang komunis bersama-sama telah menjalinkan hubungan erat atas dasar kepercayaan dan setiakawan antara para pemimpin PAP dan NTUC. Hubungan ini telah bertahan meskipun kita dilanda peristiwa-peristiwa sukar pada tahun 1965, dan terus bertahan dalam perjalanan kita semasa perpisahan hingga ke pembentukan sebuah negara.

Tidak sampai dua tahun selepas kemerdekaan, pihak British mengumumkan rancangan mereka untuk mengundurkan tentera mereka dari Singapura. Ini merupakan satu lagi tamparan yang hebat. Demi penakatan, kita terpaksa mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru untuk rakyat kita. Ini bermakna kita harus menjadikan negara kita menarik di mata para pelabur asing. Pemerintah PAP telah meluluskan undang-undang ketat untuk mengurangkan perselisihan perindustrian, sambil melindungi hak asasi para pekerja. Kuasa para majikan untuk mengambil dan memberhentikan pekerja dikembalikan, manakala skop perundingan secara kolektif dibataskan bagi kesatuan-kesatuan sekerja - meskipun hak mereka untuk menubuhkan kesatuan dikekalkan. Seperti yang dijangkakan, kesatuan-kesatuan sekerja tidak berpuas hati. Namun, PAP, melalui kerjasama dengan NTUC, berjaya memujuk para pekerja supaya menyokong perubahan-perubahan tersebut sebagai langkah yang betul untuk maju ke hadapan.

Pada tahun 1969, NTUC menganjurkan “Seminar Pemodenan” yang pengaruhnya sangat besar. Ini telah membawa satu era baru dalam hubungan tiga pihak, yang berdasarkan kerjasama dan bukan konfrontasi. Ia telah mewujudkan asas kukuh bagi pertumbuhan berterusan dan pesat negara ini selama berdekad-dekad.

Model kesatuan sekerja dan tiga pihak kita telah dikritik, terutamanya di negara-negara Barat. Kita tidak ada sebarang sebab untuk bersikap defensif. Keanggotaan kesatuan sekerja menurun beransur-ansur di kebanyakan negara Barat. Sebaliknya, keanggotaan kesatuan sekerja di Singapura pula meningkat secara konsisten, hasil dasar-dasar yang telah difikirkan dengan teliti dan usaha yang tidak henti-henti. Gerakan-gerakan buruh di negara-negara Barat sekarang tidak segagah berbanding tahun 1960-an, manakala gerakan buruh di Singapura pula semakin kukuh berkembang. Sejarah jelas menunjukkan bahawa sistem tiga pihak dan kerjasama jauh lebih berkesan dalam menjamin kebajikan dan mata pencarian para pekerja, berbanding tindakan militan dan konflik.

Perjalanan kita daripada sebuah negara Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama tidak semuanya berjalan lancar. Pengunduran tentera British hanyalah badai pertama yang melanda negara ini. Ia disusuli krisis minyak 1973, kemelesetan ekonomi besar pertama kita pada 1985, Krisis Kewangan Asia, Sindrom Sesak Nafas Mendadak (SARS) dan Krisis Kewangan Sejagat. Setiap kali, model tiga pihak kita telah membantu kita. Para pekerja terpaksa berjimat cermat, berkorban, dan menerima potongan gaji. Para majikan turut sama berkorban, dan melakukan apa yang terdaya untuk menyelamatkan seberapa banyak pekerjaan yang mereka mampu. Pada masa yang sama, pemerintah telah membantu perniagaan-perniagaan dan para pekerja mengharungi masa-masa sukar. Dengan bekerjasama, mengamalkan sikap bertolak ansur, dan memberikan tumpuan pada perkara-perkara jangka panjang, rakan-rakan tiga pihak menemui jalan penyelesaian pada masa-masa sukar, dan memperkukuh kepercayaan serta kerjasama antara mereka untuk bersiap sedia bagi mengharungi badai yang seterusnya.

Berbanding krisis-krisis yang lalu, COVID-19 tidak kelihatan begitu menggerunkan, meskipun ia tetap satu cabaran yang sukar. Pada masa-masa biasa, kesatuan-kesatuan sekerja bekerja di belakang tabir untuk memastikan hubungan perindustrian kekal stabil. Namun, apabila berdepan dengan suatu krisis yang besar seperti COVID-19, misi anda untuk melindungi para pekerja menyerlah.

Tahun lalu, apabila kehilangan pekerjaan tidak dapat dielakkan, kesatuan-kesatuan sekerja memastikan pemberhentian pekerja dilakukan dengan adil dan bertanggungjawab. Majlis Jaminan Pekerjaan NTUC secara langsung membantu lebih daripada 28,000 pekerja mencari pekerjaan baru, serta menyediakan bantuan kewangan melalui Dana Prihatin NTUC (COVID-19). NTUC juga bekerjasama dengan Pemerintah untuk melaksanakan Skim Bantuan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS), yang telah menyediakan bantuan penting bagi mereka yang bekerja sendiri.

Sepanjang krisis ini, Gerakan Buruh telah mengekalkan pendiriannya untuk bekerjasama. Ia telah meyakinkan para pekerja untuk berkorban pada hari ini agar dapat menikmati masa hadapan yang lebih baik. Tanpa semangat menentang COVID-19 bersama-sama dan pantang menyerah kalah, kita tidak mungkin akan mengatasi kemelesetan ekonomi yang paling buruk sejak kemerdekaan dengan begitu mudah.

Berbanding setahun yang lalu, prospek kita kelihatan lebih cerah. Kemelesetan ekonomi global nampaknya kurang berlarutan seperti yang kita bimbangkan pada mulanya. Sedang Eropah masih bergelut dengan gelombang-gelombang baru kes COVID-19, Amerika Syarikat dijangka kembali pulih dengan kukuh pada tahun ini, menyusuli pakej rangsangan besar yang telah dilancarkan dan perkembangan baik dalam memberikan vaksinasi kepada para penduduknya. Ekonomi China juga menunjukkan kemajuan, dengan hampir tiada kes-kes baru di negaranya. Trend-trend luaran ini membantu dalam pemulihan ekonomi negara kita sendiri, dan mewajarkan keyakinan terhadap prospek kita. Bahkan, kadar pengangguran kita juga kian merosot. Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sebelum ini telah meramalkan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) antara 4% hingga 6%. Namun, jika ekonomi global tidak mengalami kemelesetan, pertumbuhan tahun ini berkemungkinan melebihi 6%. Ini akan mengembalikan ekonomi kita ke tahap sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Selepas tahun ini, peluang-peluang baru akan mula terbuka. Pandemik ini telah mempercepatkan trend-trend seperti pendigitalan, automasi dan kemampanan dalam semua sektor. Untuk merebut peluang-peluang ini, kita perlu mentransformasikan ekonomi kita supaya sedia menghadapi dunia yang berbeza pasca-COVID-19.

Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh sedang sibuk mengusahakan transformasi ini, dan saya gembira kerana Gerakan Buruh juga turut terlibat secara aktif. Tenaga kerja kita menjadi semakin rencam. Para pekerja bebas, usahawan, pekerja matang dan lulusan baru semua menghadapi cabaran pekerjaan yang berbeza. Setiap kumpulan memerlukan dasar-dasar dan huraian yang disesuaikan. NTUC telah membentuk lebih daripada 600 Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC). Mereka bekerjasama dengan firma-firma untuk mengenal pasti keupayaan-keupayaan yang diperlukan, sama-sama mewujudkan pekerjaan baru, dan melatih para pekerja untuk firma-firma tersebut. CTC memaparkan usaha NTUC untuk menjadi relevan, dan mencari huraian-huraian baru bagi membantu para pekerja mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Prinsip panduan kerjasama rakan tiga pihak adalah untuk sentiasa kekal bersatu padu dan maju bersama. Pada Hari Buruh ini, marilah kita meneruskan iltizam kita untuk memperkukuh perkongsian ini, dan membina masa hadapan yang lebih cerah bagi Singapura buat 60 tahun akan datang dan seterusnya.

Selamat Hari Buruh kepada semua rakyat Singapura. Semoga anda sihat dan sejahtera.

TOP